SHAH ALAM – Cadangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor agar Pas menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar dinilai secara rasional berdasarkan rekod penglibatan parti itu.Menurut Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda, sejarah politik negara menunjukkan Pas sering menjadi punca ketegangan dan perpecahan dalam gabungan yang disertainya."Bermula dengan Barisan Alternatif, diikuti Pakatan Rakyat dan kini Perikatan Nasional, hampir kesemuanya berakhir dengan konflik dalaman, percanggahan keputusan dan perubahan arah politik."Antara episod yang masih segar dalam ingatan ialah tindakan Pas yang enggan menerima cadangan untuk menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor, satu langkah yang hampir mencetuskan krisis politik di negeri tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Beliau berkata, corak politik parti itu yang disifatkan sebagai sukar menerima konsensus dan kerap bertembung dengan rakan sendiri seharusnya dijadikan pengajaran.Pada masa yang sama, Fadhli Umar mengiktiraf kepimpinan Anwar yang berjaya mengembalikan kestabilan politik negara selepas kecamuk politik berpanjangan susulan Langkah Sheraton pada 2020 yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Pas."Kestabilan inilah yang mengembalikan keyakinan terhadap ekonomi negara, memperkukuh nilai ringgit sebagai antara mata wang paling stabil di Asia, serta mengekalkan kadar inflasi pada tahap yang sangat rendah."Ironinya, selepas usaha Perikatan Nasional untuk menjatuhkan kerajaan gagal, gabungan itu sendiri berdepan perpecahan dalaman sehingga menyaksikan pemimpin utama mereka meletakkan jawatan," ujarnya.Mengulas pandangan pihak yang menyuarakan kebimbangan bahawa penyertaan Pas akan memberi kesan kepada kedudukan Parti Amanah Negara (Amanah), Fadhli Umar menegaskan parti itu memiliki asas perjuangan yang kukuh dan konsisten sebagai rakan konstruktif dalam Pakatan Harapan serta Kerajaan Perpaduan."Amanah yang pernah diperkecilkan suatu ketika dahulu bukan sahaja kekal, malah telah menyambut ulang tahun sedekad penubuhannya pada tahun lalu."Kekuatan Amanah tidak bergantung kepada siapa yang masuk atau keluar daripada kerajaan, tetapi terletak pada nilai, konsistensi dan komitmen terhadap rakyat," katanya.Beliau mengulangi peringatannya supaya semua pihak tidak melupakan pengalaman serta sejarah lalu dalam mempertimbangkan sebarang cadangan atau keputusan melibatkan parti politik."Saya secara peribadi mengalu-alukan cadangan yang dilontarkan oleh rakan-rakan AMK Selangor. Namun, peringatan saya jelas, jangan kita melupakan pengalaman dan sejarah lalu."Politik menuntut kebijaksanaan, kesabaran dan kejujuran dalam membina kepercayaan bersama," katanya lagi.