PAPAR - Seorang bayi lelaki cukup sifat dipercayai baru dilahirkan ditemukan di dalam tandas wanita sebuah stesen minyak di Bongawan di sini pada awal pagi Khamis.Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu, seorang wanita mendakwa menemui bayi berkenaan dalam keadaan masih berdarah sebelum ditahan polis selepas disyaki sebagai ibu kandung bayi tersebut.Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima maklumat awal mengenai penemuan bayi itu daripada seorang wanita berusia 21 tahun."Susulan daripada laporan tersebut, sepasukan polis yang diketuai oleh pegawai penyiasat telah bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang bayi lelaki yang cukup sifat berada di dalam tandas berkenaan."Bayi tersebut kemudian dibawa ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil serta di bawah pemantauan pihak hospital," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.Heryan berkata, hasil siasatan awal turut membawa kepada penahanan wanita terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan."Wanita tersebut ditahan selepas disyaki sebagai ibu kepada bayi berkenaan namun siasatan masih diteruskan."Kes ini sedang diteliti secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.Dalam pada itu beliau menegaskan pihaknya memandang serius terhadap kes berkenaan dan akan memastikan kebajikan serta keselamatan bayi tersebut sentiasa menjadi keutamaan pihak polis."Pada masa sama, kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar atau balai polis berhampiran."Pihak polis juga ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan serta sensitiviti kes ini," katanya.