KUALA LUMPUR - Permohonan geran Program Agropreneur NextGen, inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang menyediakan bantuan sehingga RM50,000 dibuka bermula Jumaat.Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, program itu bagi menarik lebih banyak penglibatan belia dalam pertanian, selain sebagai inisiatif strategik mengembangkan projek dalam bidang tanaman, ternakan dan perikanan dengan lebih tersusun, mampan serta berdaya saing."Melalui penjenamaan baharu ini, Agropreneur NextGen menyediakan bantuan geran dalam bentuk barangan bagi membantu keperluan projek, sama ada pada peringkat permulaan atau pengembangan," katanya menerusi hantaran Facebook.Mohamad berkata, bagi kategori Start-Up, bantuan sehingga RM30,000 disediakan manakala kategori Scale-Up pula layak menerima bantuan sehingga RM50,000 bergantung kepada keperluan serta skop projek dilaksanakan.Beliau berkata, proses permohonan mendapatkan geran dipermudah dengan hanya melibatkan tiga langkah iaitu pendaftaran akaun di portal eGAN, pengisian borang permohonan dan penghantaran untuk penilaian oleh jabatan pembimbing."Lebih menarik, permohonan dibuka sepanjang tahun. Belia boleh merancang, bersedia dan memohon mengikut kesesuaian masing-masing tanpa perlu menunggu musim tertentu," katanya.Maklumat lanjut mengenai program dan borang pendaftaran, boleh diperoleh menerusi saluran rasmi Jabatan Pertanian Malaysia.- Bernama