PUTRAJAYA – Beberapa individu disyaki terbabit dalam rasuah berkait siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang pegawai kanan Tentera Darat melibatkan beberapa projek tender perolehan.SPRM dalam kenyataan memaklumkan, individu utama yang disyaki terlibat masih menerima rawatan perubatan menyebabkan keterangannya belum dapat diambil sepenuhnya setakat ini."SPRM menghormati aspek kesihatan serta hak individu berkenaan selaras prinsip undang-undang dan siasatan akan diteruskan sebaik sahaja beliau disahkan sihat oleh pihak perubatan."Tiada tempoh masa tetap ditetapkan bagi setiap fasa siasatan kerana ia bergantung kepada kerumitan kes, jumlah saksi yang perlu dirakam keterangan serta keperluan analisis dokumen dan kewangan yang terlibat," katanya menerusi hantaran dalam Tik Tok pada Jumaat.Katanya, beberapa individu lain juga telah dikenal pasti dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan dan tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan serta bukti yang diperoleh dari semasa ke semasa.Dalam perkembangan berkaitan, SPRM mengesahkan proses pengesanan dan sekatan aset sedang dijalankan."Bagaimanapun nilai sebenar aset atau akaun bank yang terlibat tidak didedahkan buat masa ini kerana siasatan masih berjalan dan tidak semua aset dibekukan sepenuhnya."Siasatan kes ini dijalankan secara telus, profesional dan berlandaskan undang-undang tanpa sebarang campur tangan mana-mana pihak," katanya.SPRM turut memberi jaminan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sebarang bentuk rasuah.Media pada 27 Disember lalu melaporkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan akan bercuti berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang dilaporkan sebelum ini.Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah pentadbiran itu diambil bagi memastikan proses siasatan dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan.Sebelum ini media melaporkan SPRM telah memulakan siasatan terhadap beberapa projek melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) sejak 2023.Sumber itu memaklumkan fokus siasatan tertumpu kepada projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut mengesahkan satu kertas siasatan berhubung kes itu dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.Menurut beliau, semua siasatan dijalankan secara bebas dan profesional berasaskan fakta serta bukti, selaras dengan peruntukan undang-undang.