KUALA LUMPUR - Seorang remaja mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencederakan bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi, Senior Asisten Komisioner (SAC) Sulizmie Affendy Sulaiman sewaktu operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, tiga bulan lepas.Majistret Nurfarahain Roslan menetapkan 4 Februari ini sebagai tarikh jatuh hukum bagi remaja berusia 16 tahun itu sementara menunggu penyediaan laporan akhlak.Mengikut pertuduhan, remaja lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan bagi menakutkan Sulizmie Affendy dalam menjalankan kewajipannya sebagai pegawai pemerintah. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Datuk Abdul Malik, Kampung Sungai Baru, dekat sini, antara jam 10.50 hingga 11.14 pagi, 11 September lalu mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.Pada prosiding Jumaat, tertuduh berserta enam individu lain turut didakwa di Mahkamah Majistret berasingan atas pertuduhan menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang, iaitu menentang proses notis pengosongan walaupun telah diarahkan bersurai mengikut undang-undang pada waktu, lokasi dan tarikh sama. Pendakwaan kes itu dikemukakan mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya.Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menjatuhkan hukuman denda RM3,500 atau enam bulan penjara terhadap Mohd Sopirman Mohd Yunus, 31; Muhammad Redzuan Kamal Abdul Rahman, 19; Muhammad Fallah Islahudden Shah Abdul Fattah, 20, dan Muhammad Azhar Salleh, 36, selepas mereka mengaku bersalah.Seorang lagi tertuduh, Ariffin Abu Bakar, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM2,800 dengan seorang penjamin, selain tarikh sebutan seterusnya pada 4 Februari ini.Sementara itu, bagi dua lagi tertuduh bawah umur yang turut mengaku bersalah, mahkamah menetapkan 4 Februari ini sebagai tarikh jatuh hukum bagi membolehkan penyediaan laporan akhlak.Remaja berusia 16 dan 17 tahun itu masing-masing dibenarkan ikat jamin RM500 dengan seorang penjamin.Prosiding pada Jumaat dijalankan secara tertutup kerana membabitkan remaja bawah umur.Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Joshua Tee dan Nurul Farhanah Arul Hisham manakala peguam Farith Emier Farhan Mormi, Muhammad Najib Ahmad dan Nur Asniqeen Mohd Sultan mewakili pembelaan.Pada 11 September lepas, media melaporkan beberapa individu ditahan berhubung kecederaan yang dialami Sulizmie Affendy ketika berlaku rempuhan oleh sekumpulan individu di Kampung Sungai Baru.Beliau dilaporkan mengalami kecederaan pada kepala akibat terkena objek yang dibaling oleh individu tidak dikenali ketika mengawal keadaan dalam operasi pemotongan bekalan elektrik beberapa rumah di kawasan berkenaan.Operasi dijalankan susulan arahan mahkamah berhubung proses perobohan struktur rumah di kawasan itu.- Bernama