Ejen hartanah rugi hampir RM760,000 diperdaya 'scammer'

GEORGE TOWN - Seorang ejen hartanah kerugian hampir RM760,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan judi dalam talian sejak Oktober tahun lalu.Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada wanita berusia 64 tahun pada Khamis lalu.Menurutnya, mangsa mula tertarik menyertai satu skim pelaburan judi dalam talian selepas dihubungi seorang lelaki tidak dikenali."Pada peringkat awal, suspek menghubungi mangsa dengan bertanyakan mengenai khidmat pembantu rumah sebelum mangsa memberikan nombor telefon rakannya yang menjalankan perkhidmatan tersebut."Suspek kemudiannya kerap menghubungi mangsa dan memperkenalkan satu pelaburan judi dalam talian yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Azizee berkata, mangsa membuat pelaburan pertama dan mendapat keuntungan RM3,000.Bermula dari 26 November hingga 8 Disember 2025 beliau berkata, mangsa telah melakukan 20 transaksi pemindahan wang ke dalam lapan akaun bank milik syarikat berbeza.Bagaimanapun katanya, mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila tidak lagi menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan."Malah, mangsa diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi tujuan pengeluaran keuntungan," katanya.Berasa curiga dengan situasi tersebut, Azizee berkata, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis.Jelasnya, jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa dianggarkan sebanyak RM759,950 dan siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.Sementara itu, Azizee menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan, khususnya yang dipromosikan secara dalam talian dan menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat."Orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan individu atau entiti terbabit mempunyai kebenaran sah untuk menawarkan produk atau perkhidmatan pelaburan," katanya.