JOHOR BAHRU - Seorang warga emas maut selepas dilanggar sebuah motosikal ketika melintas jalan di lorong kanan Jalan Segenting, Tampoi di sini pada Khamis.Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Superintenden Azrol Anuar Nor, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 8.34 malam."Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada jam 4.30 petang apabila sebuah motosikal jenis Y16ZR ABS yang ditunggang pelajar berusia 18 tahun dalam perjalanan dari arah Bukit Mewah menghala ke Jalan Johor Bahru - Air Hitam."Setibanya ke lokasi, motosikal tersebut telah terlanggar seorang wanita warga emas berusia 74 tahun yang sedang melintas jalan."Akibat kemalangan tersebut, warga emas berkenaan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, patah kaki kiri dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Dalam pada itu, penunggang motosikal pula mengalami kecederaan pada bahagian bahu kiri, luka di kedua-dua tangan dan mendapat rawatan di hospital sama.Tambah Azrol Anuar, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan merbahaya."Siasatan lanjut masih dijalankan dan orang awam yag mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Khairul Azhar Pakrudin di talian 013-4111703," katanya.