KAJANG – Tindakan dua individu berlagak samseng dengan memegang objek disyaki kayu di Plaza Tol Sungai Long, Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) mengundang padah apabila mereka kini diburu polis susulan kejadian itu pada Jumaat.Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan berkaitan kejadian berkenaan diterima pada jam 9.08 malam."Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada hari sama kira-kira jam 9 pagi serta melibatkan dua individu dengan salah seorang daripadanya memegang objek disyaki kayu."Akibat insiden tersebut, aliran trafik di kawasan berkenaan terjejas dan menimbulkan kebimbangan orang awam," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987."Usaha mengesan kedua-dua suspek sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan lanjut."Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-974 0758," katanya.