Liga-M juga boleh terancam

KEMELUT isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan yang kini menunggu keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bukan sahaja merencatkan perancangan skuad kebangsaan, malah dikhuatiri mampu ‘membunuh’ saingan Liga Malaysia (Liga-M).Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, kelewatan keputusan CAS itu sememangnya mengganggu persiapan pasukan, namun impak lebih besar bakal dirasai oleh ekosistem bola sepak domestik sekiranya keputusan tersebut tidak memihak kepada Malaysia.Menurutnya, jika Harimau Malaya dikenakan hukuman berat seperti digantung daripada kejohanan Piala Asia, tumpuan akan terarah sepenuhnya kepada liga domestik yang kini berdepan risiko hilang seri."Perancangan pastinya terganggu kerana keputusan CAS belum diumumkan. Namun, kita perlu melihat gambaran lebih besar iaitu nasib Liga Malaysia selepas ini."Jika kita dijatuhkan hukuman dan digantung daripada kejohanan antarabangsa, kita hanya ada liga domestik. Tetapi liga ini juga bakal terancam."Penaja mungkin tidak mahu lagi melabur, malah penyokong juga mungkin akan rasa muak dan enggan memberikan sokongan kerana isu tersebut."Ini realiti yang perlu kita fikirkan selain beberapa kemungkinan lain yang boleh berlaku," katanya kepada Sukan Sinar.Mengulas lanjut, Pekan menegaskan bahawa kesan domino daripada situasi tersebut bakal menjejaskan periuk nasi pemain tempatan dan pegawai pasukan.Jelasnya, jika Liga-M menjadi hambar dan hilang daya tarikan komersial, kadar pengangguran dalam kalangan penggiat industri bola sepak dijangka meningkat."Kita perlu fikirkan masa depan liga dan apa langkah seterusnya untuk menyelamatkan pemain bola sepak kita, bukan sahaja pemain import atau naturalisasi, tetapi pemain tempatan."Jika liga hambar, apa akan jadi kepada mereka? Berapa ramai yang akan menganggur? Ini termasuklah nasib jurulatih, pegawai pasukan dan pemain muda yang sedang bersedia untuk mencari tempat dalam skuad kebangsaan," ujarnya.