SHAH ALAM – Pelantikan Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) ke-31 dilihat sebagai satu tanggungjawab besar dalam memastikan integriti institusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus dipelihara, seiring keperluan mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem keselamatan negara.Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, jawatan dan pangkat dalam institusi pertahanan bukan satu kebanggaan semata-mata, sebaliknya amanah besar yang menuntut tahap kebertanggungjawaban tertinggi."Setiap amanah yang diberikan bukan untuk dimegahkan, tetapi perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab kerana ia akan dipersoalkan, bukan sahaja oleh rakyat tetapi juga di sisi ALLAH SWT."Kepercayaan rakyat terhadap sistem keselamatan negara kini berdepan cabaran susulan pelbagai isu yang mencalar maruah negara, sekali gus menjadikan keselamatan bukan lagi sekadar soal imej, tetapi melibatkan nyawa rakyat."Apabila sistem keselamatan menjadi taruhan, kita tidak ada pilihan selain berubah. Kepercayaan yang terus runtuh tanpa pembaharuan hanya akan meningkatkan tekanan awam," katanya kepada Sinar Harian.Mengulas lanjut Nurhayati berkata, lantikan baharu itu perlu dimanfaatkan untuk melaksanakan reform dalam ATM, khususnya bagi menutup kelompongan yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.Beliau turut merujuk penilaian Government Defence Integrity Index (GDI) oleh Transparency International yang meletakkan Malaysia pada tahap risiko rasuah sederhana ke tinggi dalam sektor pertahanan."Penilaian ini memberi gambaran ruang yang perlu diperbaiki, terutama berkaitan isu ketelusan perolehan, runding terus dan konflik kepentingan."Kelemahan dari sudut pengawasan, termasuk akses Parlimen dan badan berkaitan terhadap urusan pertahanan turut menyumbang kepada defisit kepercayaan yang lebih serius berbanding defisit fiskal," katanya.