PELEDAK berbisa Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson Da Silva bakal memperkuatkan lagi jentera serangan skuad Harimau Selatan itu dalam aksi Liga Super menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahad ini.Menurut pengendali JDT, Xisco Munoz, Bergson yang sebelum ini diketepikan akibat masalah kecederaan telah kembali menjalani latihan bersama pasukan."Ya, Bergson sudah kembali berlatih dan berkemungkinan akan diturunkan ketika menentang Selangor FC."Kita yakin kehadirannya mampu menambahkan lagi bisa jentera serangan pasukan pada aksi berprofil tinggi seperti ini, dan sekali gus memberikan petanda bahawa JDT tidak boleh memandang ringan cabaran daripada skuad Gergasi Merah itu."Seperti yang saya katakan sebelum ini, perlawanan pada Januari dan Februari sangat mencabar buat JDT dan kami perlu memperhebatkan kualiti latihan kerana ini adalah aksi yang sukar," katanya menjelang perlawanan tersebut.Untuk rekod, setelah menamatkan pusingan pertama dengan 12 perlawanan, JDT kekal di tangga teratas Liga Super dengan mengumpul 36 mata, manakala Selangor FC berada di kedudukan ketiga berkongsi 25 mata bersama Kuching City FC, walaupun dipisahkan hanya dengan perbezaan jaringan.Tambah Munoz, sasaran JDT adalah untuk memulakan pusingan kedua liga dengan langkah kanan, sambil mengekalkan momentum permainan dan intensiti tinggi."Kami mahu corak permainan dan transisi dilakukan dengan lebih tersusun."Jadi, setiap pemain perlu kekal fokus kerana jadual perlawanan selepas ini lebih mencabar," ujarnya.Sementara itu, Munoz turut lega apabila pemain import, Ager Aketxe kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan, dan dijangka memainkan peranan penting dalam mengemudi jentera tengah pasukan berdepan Selangor FC."Sebagai pemain import, Ager tahu tugasnya amat berat. Dia perlu memberikan 200 peratus dan bukan sahaja dia, malah semua pemain tidak boleh terlalu selesa."Dalam masa sama, kelibat Jairo Da Silva juga tidak boleh dinafikan apabila beliau sudah menjaringkan 12 gol dan dijangka akan terus membantu pasukan bagi melakar kemenangan," katanya.