PELABUHAN KLANG – Tiga lelaki warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit kerja sah ditahan ketika pemeriksaan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor melibatkan dua bot nelayan tempatan di sini pada Jumaat.Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, tangkapan itu dilakukan sekitar jam 6.30 dan 7 petang oleh kapal Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rutin operasi di perairan Selangor."Semasa rondaan, kapal Maritim mengesan dua bot nelayan berkenaan di kedudukan sekitar lapan hingga sembilan batu nautika barat daya Pulau Tengah dan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan."Pemeriksaan awal mendapati, kedua-dua bot itu dikendalikan oleh tekong dan awak-awak terdiri daripada tiga lelaki warga India berumur antara 39 hingga 47 tahun, serta seorang warga tempatan berumur 18 tahun," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua warga asing itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah."Selain itu, mereka juga gagal menunjukkan surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk bekerja di atas bot berkenaan."Kesemua individu yang ditahan bersama hasil tangkapan ikan campur dianggarkan seberat 60 kilogram diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut," ujarnya.Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63."Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang. Pemantauan dari semasa ke semasa dijalankan khususnya di perairan negeri ini bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang."Sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan serta aktiviti jenayah di laut boleh disalurkan orang ramai melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 untuk maklum balas segera," katanya.