Reman suspek kes letupan di Nilai disambung seminggu

SEREMBAN - Reman terhadap lelaki disyaki terlibat kes letupan menggunakan bahan letupan buatan sendiri atau Improvised Explosive Device (IED) di Desa Palma, Nilai disambung tujuh hari bermula pada Ahad.Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, perintah reman terhadap lelaki 62 tahun itu dikeluarkan Majistret Sara Afiqah Zulkipli di Hospital Tuanku Ja’afar di sini selepas tempoh reman berakhir pada Sabtu."Ia bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berjadual," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Sebelum ini, Alzafny berkata suspek kes letupan yang berlaku pada pagi 22 Disember ditahan di sekitar Batang Benar, Nilai pada 4.15 petang 27 Disember dengan kesan melecur pada muka, badan, tangan dan kaki.Suspek dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal dan kemahiran khusus dalam pembuatan bahan letupan berdasarkan penemuan peranti serta peralatan yang dirampas di rumah sewa lelaki itu. - Bernama