KULAI - Pemandu kereta dengan nombor pendaftaran Singapura tular kerana didakwa mengisi petrol subsidi RON95 dengan menyembunyikan sebahagian huruf di plat nombor supaya kelihatan seperti kenderaan tempatan.Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya sedang menyiasat kes itu dan penguat kuasa sudah dihantar ke stesen minyak berkenaan di Kulai untuk tindakan lanjut."Pengadu sudah membuat aduan dalam sistem dan pasukan sudah pun digerakkan bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan."Sekarang ini kita masih menunggu laporan dan hasil siasatan. Maklumat-maklumat akan dikemas kini nanti," katanya ketika dihubungi.Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 30 saat di media sosial memaparkan individu berkenaan berulang kali mendakwa mereka bukan warga Singapura sebaliknya rakyat tempatan, sebelum dilihat cuba meninggalkan lokasi dengan segera.Pemilik video mendakwa, kemungkinan ia taktik baharu warga Singapura untuk mengaburi mata pihak berkuasa apabila menutup huruf pertama dan terakhir nombor pendaftaran kenderaan asing.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya akan mengambil tindakan saman ke atas pemilik kenderaan jika mendapati nombor pendaftaran kenderaan itu menyalahi peraturan yang ditetapkan.Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 10.35 malam Jumaat, namun laporan diterima pada jam 10.05 pagi, Sabtu."Laporan mengenai kejadian itu sudah dirujuk ke KPDN untuk tindakan lanjut kerana membabitkan minyak subsidi."Pihak polis akan mengesan pemilik kenderaan dan jika didapati nombor pendaftaran kenderaan itu menyalahi peraturan ditetapkan, kita akan ambil tindakan saman," jelasnya.