Bunyi mencurigakan patahkan cubaan pecah masuk rumah

KLANG – Tindakan pantas polis ke lokasi kejadian berjaya mematahkan cubaan dua lelaki melakukan jenayah pecah masuk kediaman di Taman Eng Ann di sini pada Jumaat.Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, satu panggilan diterima pihaknya pada jam 3.15 pagi daripada jiran kediaman terbabit yang mendengar bunyi mencurigakan dan melihat pintu pagar dipecahkan.Menurutnya, susulan maklumat itu, sepasukan anggota polis diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan dua lelaki tempatan yang cuba melarikan diri melalui pintu belakang."Semasa ditahan, terdapat rampasan barang curi. Kedua-dua suspek ditahan reman selama lima hari sehingga 6 Januari untuk siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an dan dipercayai aktif melakukan jenayah tersebut sejak awal 2025.Tambahnya, semakan juga mendapati salah seorang suspek mempunyai dua rekod jenayah dan dadah."Modus operandi suspek ialah menyasarkan rumah yang ditinggalkan kosong dan tidak berpenghuni," ujarnya.Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes masih dalam siasatan dan tindakan tegas telah pun diambil.