GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menahan 10 lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian pergaduhan sekumpulan lelaki tempatan di Medan Selera Sungai Bakap, yang mengakibatkan seorang lelaki maut dan dua lagi cedera.Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, tangkapan terbaharu itu dibuat menerusi serbuan berasingan di sekitar Seberang Perai Selatan dan di kawasan Taiping, pada Jumaat lalu.Menurutnya, penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang ditahan setakat ini seramai 14 orang selepas empat lelaki ditahan dalam tempoh 48 jam selepas kejadian berlaku."Kesemua suspek dipercayai terlibat secara langsung dalam kejadian serangan menggunakan objek tajam yang berlaku di lokasi berkenaan."Suspek yang ditahan berumur antara 24 hingga 54 tahun dan dipercayai merupakan ahli kongsi gelap yang aktif di Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.Beliau berkata, hasil semakan mendapati 10 daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah dan dadah.Selain itu, katanya, pasukan operasi turut menggempur beberapa kawasan yang dijadikan tempat ahli kumpulan terbabit berkumpul bagi mengesan saki-baki suspek yang terlibat dalam kejadian ini.Pada 31 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki yang cedera selepas diserang sekumpulan individu bersenjatakan objek tajam di sebuah restoran di Sungai Bakap, di sini, pada Selasa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.Azizee Ismail sebelum ini berkata, mangsa berusia 30-an itu dirawat di Hospital Seberang Jaya akibat cedera parah di beberapa bahagian badan, manakala seorang lagi lelaki yang cedera dirawat di Hospital Sungai Bakap dan dilaporkan stabil."Siasatan awal polis mendapati mereka bersama mangsa yang maut sedang minum bersama di restoran itu sebelum tiba-tiba diserang 15 lelaki bertopeng dan setakat ini kami telah menahan dua suspek bagi membantu siasatan," katanya.Beliau berkata, dua lelaki masing-masing berusia 24 serta 36 tahun itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan baki individu yang terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan.Insiden pada jam 4.30 petang itu menyaksikan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang menyerang mangsa selepas dikatakan tidak berpuas hati mengenai masalah hutang. Lelaki berusia 59 tahun yang cedera parah akibat tetakan di bahagian kepala disahkan meninggal dunia, manakala dua lagi yang turut cedera parah dihantar ke Hospital Sungai Bakap.