GEORGE TOWN - Empat individu termasuk seorang wanita warga asing ditahan polis bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM 2 juta dalam beberapa serbuan di sekitar bandar ini sejak Jumaat lalu.Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik hasil risikan dan maklumat awam mengenai aktiviti penyimpanan dan pengedaran yang dilakukan oleh kesemua suspek.Menurutnya, dalam serbuan pertama polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing yang berperanan sebagai 'runner' di sekitar kawasan George Town."Hasil soal siasat dijalankan membawa kepada tempat penyimpanan dadah di dalam sebuah tempat kereta tidak jauh daripada lokasi mereka ditangkap."Pemeriksaan di dalam kereta terbabit menemukan empat buah beg dan satu kotak yang mengandungi lebih 12,151 gram serbuk dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA)."Turut ditemui 41 peket plastik yang mengandungi serbuk putih dipercayai dadah jenis ketamin seberat 51.40 gram, 30 biji pil ekstasi dan 10 biji pil eramin-5," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Azizee berkata, siasatan lanjut dikakukan terhadap suspek membawa kepada tangkapan dua lagi rakan jenayah mereka yang juga berperanan sebagai 'runner' di sekitar George Town.Katanya, siasatan mendapati aktiviti pengedaran dadah dijalankan sindiket ini aktif sejak Julai tahun lalu.Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati tiga daripada suspek positif dadah selain mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah."Kesemua yang ditahan berusia 19 hingga 40 tahun itu kini direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 8 Januari depan."Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1953 yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan,"tambahnya lagi.