SHAH ALAM – Kementerian Luar Negeri mengesahkan setakat ini tiada laporan melibatkan rakyat Malaysia yang terjejas susulan serangan berlaku di Caracas, Venezuela pada Sabtu.Kementerian memaklumkan, pihaknya sedang memantau rapi situasi berkenaan dan mendapatkan maklumat terkini bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan."Kementerian mengesahkan bahawa setakat ini tiada laporan melibatkan rakyat Malaysia yang terjejas akibat situasi berkenaan."Pemantauan akan diteruskan dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan sekiranya perlu," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam Kementerian Luar Negeri pada Sabtu.Terdahulu, ibu kota Caracas digegarkan dengan siri serangan pada jam 2 pagi (waktu tempatan) sehingga menyebabkan pemimpin haluan kiri Venezuela, Nicolas Maduro terpaksa mengisytiharkan darurat dan mengutuk kempen pencerobohan itu.Rangkaian media di Washington turut mengesahkan operasi ketenteraan itu dilancarkan tentera Amerika Syarikat (AS) setelah ketegangan memuncak sejak beberapa minggu lalu.Presiden AS, Donald Trump pada hari sama turut mengesahkan pasukan tentera mereka berjaya menawan Maduro selepas melancarkan serangan berskala besar yang menggegarkan negara Amerika Selatan itu.