MCMC panggil X siasat kandungan imej lucah dijana AI

CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memulakan siasatan terhadap pengguna yang disyaki menyalahgunakan kecerdasan buatan (AI) di platform X.Menurut Komunikasi Korporat MCMC, penggunaan teknologi itu melibatkan kandungan memanipulasi imej wanita dan kanak-kanak bagi menghasilkan kandungan yang tidak senonoh, jelik melampau atau memudaratkan.Katanya, walaupun X bukan penyedia perkhidmatan berlesen buat masa ini, platform tersebut tetap perlu mematuhi piawaian keselamatan dalam talian di Malaysia dan bertanggungjawab mencegah penyebaran kandungan yang memudaratkan.Tambah kenyataan itu lagi, wakil platform berkenaan akan dipanggil bagi membantu siasatan."MCMC menegaskan bahawa penghasilan atau penyebaran kandungan memudaratkan tersebut merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM), yang antara lainnya melarang penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian atau aplikasi untuk menghantar kandungan yang berunsur jelik melampau, lucah atau sumbang."Dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), platform dalam talian dan penyedia perkhidmatan berlesen dikehendaki mengambil langkah bagi mencegah penyebaran kandungan memudaratkan dalam talian, termasuk bahan penderaan seksual kanak-kanak," katanya pada Sabtu.MCMC juga menggesa semua platform yang boleh diakses di Malaysia supaya melaksanakan langkah perlindungan selaras dengan undang-undang negara dan piawaian keselamatan dalam talian, khususnya berkaitan fungsi AI, chatbot dan aplikasi manipulasi imej."Pengguna Internet dan mangsa dinasihatkan untuk melaporkan kandungan memudaratkan kepada platform berkaitan serta membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia dan MCMC, termasuk melalui portal aduan dalam talian MCMC," katanya.