SHAH ALAM – Malaysia secara prinsip menolak sebarang bentuk campur tangan asing dalam urusan dalaman sesebuah negara terutamanya sebarang bentuk ancaman atau penggunaan kekerasan.Wisma Putra dalam satu kenyataan berhubung perkembangan terkini di Caracas, Venezuela berkata, prinsip berkenaan merupakan asas penting yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa."Malaysia sentiasa menegaskan keperluan penyelesaian secara aman melalui dialog, penghormatan terhadap kedaulatan negara, serta pematuhan kepada norma-norma antarabangsa."Pada masa yang genting ini, amat penting bagi pihak terbabit untuk mengamalkan sikap menahan diri sepenuhnya, dan mencari penyelesaian aman melalui dialog dan diplomasi," kata kenyataan itu pada Ahad.Wisma Putra turut memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Caracas telah menghubungi semua warganegara Malaysia yang berdaftar di Venezuela dan kesemuanya berada dalam keadaan selamat.Ujarnya, keselamatan dan kebajikan warganegara Malaysia terus menjadi keutamaan Kementerian Luar Negeri (KLN), dan pihak Kedutaan memantau rapi keadaan di lapangan."Warganegara Malaysia di Venezuela yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Caracas menerusi talian (58-212) 720 4257 atau e-mel mwcaracas@kln.gov.my."Kementerian ini akan terus memantau perkembangan ini secara aktif dan akan mengeluarkan maklumat lanjut sekiranya perlu."Rakyat Malaysia di Venezuela dinasihatkan agar kekal berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan sentiasa berhubung rapat dengan pihak Kedutaan," tambahnya.