SHAH ALAM – Biro Hal Ehwal Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam keras serangan ketenteraan yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) ke atas wilayah berdaulat Republik Bolivarian Venezuela, sambil menyifatkannya sebagai satu pencerobohan serius terhadap undang-undang antarabangsa.Pengerusinya, Dr Maszlee Malik berkata, serangan berkenaan yang didakwa berlaku beberapa jam sebelum kenyataan itu dikeluarkan merupakan satu tindakan agresif tanpa provokasi dan jelas melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya Artikel 2(4).Menurut beliau, artikel berkenaan mewajibkan semua negara anggota menahan diri daripada menggunakan atau mengancam kekerasan terhadap keutuhan wilayah serta kebebasan politik sesebuah negara."Tindakan ini adalah satu peningkatan berbahaya yang menjejaskan asas susunan antarabangsa pasca-perang, mengancam kestabilan serantau dan global, serta mewujudkan satu duluan berbahaya dalam penggunaan kekerasan dalam hubungan antarabangsa," ujarnya dalam satu kenyataan di laman Facebook malam tadi.Dr Maszlee menegaskan, dunia tidak memerlukan lebih banyak peperangan, khususnya ketika kerjasama global amat diperlukan bagi menangani cabaran mendesak seperti kemiskinan, perubahan iklim dan ketidaksamaan.Jelasnya, tindakan bermusuhan itu hanya akan memanjangkan penderitaan, ketidakstabilan dan konflik, selain disifatkan sebagai satu bentuk keganasan yang dizahirkan melalui campur tangan ketenteraan asing serta penafian hak sesebuah negara untuk menentukan hala tuju sendiri.Dalam kenyataan sama, ujarnya, PKR turut menegaskan pendirian tegas parti itu yang berpegang kepada prinsip keadilan, kemanusiaan dan penentangan mutlak terhadap sebarang bentuk penjajahan dalam dunia moden."PKR juga menyatakan solidariti bersama rakyat Venezuela dan menegaskan hanya rakyat negara itu mempunyai hak mutlak untuk menentukan masa depan mereka tanpa sebarang paksaan atau keganasan dari luar," katanya.Sehubungan itu, PKR menggesa Amerika Syarikat supaya menghentikan serta-merta semua tindakan ketenteraan bermusuhan terhadap Venezuela serta menyeru semua pihak menghormati kedaulatan dan kebebasan politik negara itu selaras dengan Piagam PBB.Pada masa sama, komuniti antarabangsa diminta memikul tanggungjawab bersama dalam memelihara keamanan dunia dengan mengutamakan penyelesaian diplomatik melalui dialog dan platform pelbagai hala, khususnya menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.