MELAKA - Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Allex Seah dari DAP menyatakan kesediaannya untuk meletakkan jawatan sekiranya Kerajaan Perpaduan Negeri Melaka dibubarkan.Ia sebagai maklum balas terhadap desakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mencabar DAP supaya keluar daripada Kerajaan Perpaduan di negeri itu.Allex menerusi hantaran di Facebooknya berkata, pelantikannya sebagai Exco dibuat selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menjemput Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan negeri itu pada 2023."Sehingga hari ini, saya tetap berpegang kepada semangat Kerajaan Perpaduan dan komited berkhidmat kepada rakyat Melaka di bawah pentadbiran sedia ada."Saya sentiasa komited bersama semua agensi di bawah portfolio Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.Allex yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang menegaskan bahawa keutamaannya adalah kestabilan kerajaan negeri dan negara demi kepentingan rakyat serta masa depan Melaka.Bagaimanapun katanya, sekiranya BN atau UMNO memilih untuk menarik diri dan membubarkan Kerajaan Perpaduan Negeri Melaka, beliau akan meletakkan jawatan Exco serta-merta."Segala keputusan akan mengikut keputusan parti."Hari ini adalah Konvensyen DAP Melaka, biarlah ia dibincangkan esok bersama pucuk pimpinan parti," katanya.Dr Akmal yang juga ADUN Merlimau, ketika berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) mencabar DAP supaya meletakkan jawatan di Melaka memandangkan parti itu juga sebahagian daripada kerajaan negeri yang diterajui BN.Beliau pada masa sama turut menggesa agar satu ketetapan dibuat supaya UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.Menurut beliau, keputusan tersebut perlu dibuat secara kolektif dan berprinsip demi menjaga maruah serta hala tuju parti, khususnya dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.