SHAH ALAM - Tuntutan insurans hayat tidak semudah yang disangka terutama apabila kematian berlaku akibat perbuatan jenayah atau melibatkan unsur kesalahan undang-undang.Penasihat takaful, Muhammad Zamir Zubaide, 28, berkata, semua syarikat takaful ataupun insurans di Malaysia di bawah Bank Negara Malaysia.Oleh demikian, beliau menjelaskan, semua syarikat terikat dengan undang-undang Malaysia dan ada syarat-syarat dalam sijil polisi insurans atau takaful itu."Syarat-syarat tuntutan pampasan ini tidak akan berlaku sekiranya disebabkan bunuh diri, melakukan perkara ekstrem dan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang."Hal ini bermaksud orang yang memiliki insurans ataupun takaful tidak layak membuat tuntutan pampasan dan polisi akan terbatal," katanya kepada Sinar Ahad.Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan ketaasuban terhadap wang tuntutan insurans dipercayai menjadi punca seorang wanita bertindak berpakat dengan teman lelakinya untuk membunuh suaminya sendiri di Taman Ehsan Jaya di sini minggu lalu.Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun diserang ketika sedang tidur.Jelasnya, lelaki yang dipercayai kekasih kepada isteri mangsa bertindak menekup muka mangsa menggunakan bantal sehingga menyebabkan dia sesak nafas.Tambah Muhammad Zamir, untuk kes yang berlaku di Johor, tuntutan pampasan tidak akan berlaku kerana telah menyalahi undang-undang, apatah lagi sekiranya penama yang penerima pampasan insurans atau takaful nyawa bertindak membunuh orang yang memiliki insurans itu."Untuk kes seperti ini, pihak insurans ataupun takaful akan meminta untuk melampirkan dokumen diperlukan seperti laporan polis ataupun laporan hospital."Pihak insurans mahupun takaful tidak semudah itu untuk luluskan tuntutan memandangkan penama itu akan terbatal dan pampasan tersebut akan dibekukan," ujarnya lagi.Menurut beliau, waris lain masih boleh buat tuntutan, tetapi melalui urusan faraid dan wang akan ke Amanah Raya sekiranya tiada tuntutan."Untuk proses ini, jika bukan kes biasa akan mengambil masa untuk selesai dengan mahkamah akan tentukan," kata Muhammad Zamir.Bagaimanapun menurutnya, proses tuntutan untuk kes biasa hanya akan mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari bekerja."Untuk kematian disebabkan penyakit hanya perlu lampirkan sijil kematian, surat pengesahan dari hospital dan kad pengenalan penama penerima pampasan."Jika kes kemalangan, maka perlu dilampirkan laporan polis, surat pengesahan hospital dan kad pengenalan penama penerima pampasan," jelasnya lagi.Tegasnya, insurans dan takaful diwujudkan untuk melindungi keluarga, sekali gus bukan sebagai jalan pintas mendapatkan wang."Tidak banyak kesedaran masyarakat tentang insurans atau takaful," kongsinya lagi.