IPOH - Seorang pakar perubatan kerugian lebih RM500,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang kripto yang diperkenalkan rakan TikTok.Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, mangsa berusia 67 tahun itu menerima tawaran pelaburan melalui satu pautan dihantar oleh kenalan di aplikasi TikTok pada penghujung September lalu.Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, mangsa tertarik dengan penerangan diberikan suspek sebelum membuat beberapa pindahan wang berjumlah RM320,000 ke dalam pelbagai akaun bank yang didaftarkan atas nama syarikat."Bagaimanapun, mangsa gagal mengeluarkan keuntungan seperti yang dijanjikan."Tidak lama kemudian, mangsa terbaca mengenai satu entiti dikenali sebagai International Justice Malaysia (IJM) di Facebook yang kononnya menawarkan khidmat membantu menyelesaikan kes penipuan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.Beliau berkata, mangsa kemudian berhubung dengan seorang lelaki yang mengaku sebagai peguam dan diminta membuat beberapa bayaran tambahan bagi tujuan pemulihan wang."Akibat urusan tersebut, mangsa sekali lagi mengalami kerugian berjumlah RM209,200, menjadikan jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa mencecah RM529,200," katanya.Menurut Noor Hisam, mangsa mula berasa ragu-ragu terhadap kesahihan urusan berkenaan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh."Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya terhadap sebarang tawaran pelaburan atau perkhidmatan pemulihan kerugian yang ditawarkan melalui media sosial."Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang bayaran pendahuluan kepada pihak yang tidak dikenal pasti," katanya.Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penipuan boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997.End