MELAKA – Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka menggesa Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh agar berterus terang berhubung desakan untuk membawa parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan tidak menggunakan alasan kononnya ‘garis merah’ Melayu serta Islam telah dilanggar.Pengerusinya, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat berkata, hakikat sebenar desakan tersebut berpunca daripada keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan adendum Datuk Seri Najib Razak serta mengekalkan sabitan kes 1MDB terhadap bekas Perdana Menteri itu."Tak perlulah mereka-reka alasan kononnya garis merah Melayu dan Islam dilanggar. Hakikatnya kamu mahu membawa UMNO keluar kerana kes Najib. Itu sahaja puncanya, bukan? Jujur dan berterus terang sahajalah."Kamu ingat Kerajaan Perpaduan boleh campur tangan dan mengawal mahkamah? Jika tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, buatlah rayuan seperti hak semua rakyat Malaysia. Mengapa pula mahu melaungkan keluar kerajaan hanya kerana mahkamah menjalankan tugas?" katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.Menurut beliau, desakan Dr Akmal menerima sorakan kuat daripada perwakilan Pemuda UMNO, namun pendirian Amanah Melaka kekal jelas dan konsisten tidak menghalang atau memujuk."Kalau kekal dan hanya menjadi duri dalam daging atau api dalam sekam pun tiada gunanya juga."Nak keluar, silakan. Kami bentangkan karpet merah. Nak terus bekerja untuk rakyat bersama Kerajaan Perpaduan pun kami sudah lama bersedia."Hentikan hipokrasi isu garis merah Melayu dan Islam. Ini soal nafsu politik UMNO, bukan sama sekali isu Melayu dan Islam," tegasnya.Dalam pada itu, beliau mencabar Ketua Pemuda UMNO itu supaya memulakan tindakan di peringkat negeri, khususnya di Melaka, sekiranya benar-benar mahu keluar daripada Kerajaan Perpaduan."Jika Dr Akmal rasa sukar untuk mendesak pimpinan UMNO di peringkat Persekutuan meletakkan jawatan Menteri, kita mulakan dahulu di Melaka."Pergi berjumpa Ketua Menteri Melaka atau bangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Exco negeri dengan mendesak supaya Pakatan Harapan (PH) Melaka disingkirkan daripada Kerajaan Negeri."Apa yang perlu ditakutkan? Perkara mudah sepatutnya dimulakan terlebih dahulu. Kami tidak sibuk mahu merosakkan perpaduan, sebaliknya kamu yang bersungguh-sungguh," ujarnya.Terdahulu, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau ketika berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) mencabar DAP supaya meletakkan jawatan di Melaka memandangkan parti itu juga merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN).Beliau turut menggesa agar satu ketetapan dibuat supaya UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.Menurutnya, keputusan tersebut perlu dibuat secara kolektif dan berprinsip demi menjaga maruah serta hala tuju parti, khususnya dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.