KUANTAN – Setiap parti politik mempunyai kebebasan untuk menentukan rakan kerjasama strategik masing-masing berdasarkan pertimbangan dan matlamat tersendiri.Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Fuziah Salleh bagaimanapun menegaskan bahawa pihaknya menghormati hak mana-mana parti dalam menentukan hala tuju mereka."Ada yang memilih rakan sehaluan iaitu senada pemikiran manakala ada pula yang berbeza pandangan dan masing-masing ada alasan serta sebab."Yang memilih rakan berbeza mungkin bertujuan melengkapkan dan meluaskan capaian manakala yang sehaluan biasanya untuk memperkukuh asas pengundi… tetapi itu adalah pilihan masing-masing," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Serahan Baucar Kembali ke Sekolah 2026 di sini pada Ahad.Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyatakan hasrat agar UMNO dan Pas dapat bersatu demi membentuk penyatuan orang Melayu.Perkara itu disuarakan beliau ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.Muhamad Akmal turut memaklumkan bahawa setiap usul dan cadangan akan dibawa ke peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.Antara usul konvensyen tersebut ialah menggesa UMNO supaya segera membentuk penyatuan dengan Pas yang berpaksikan kepada komitmen menjaga serta melindungi agama dan bangsa.Dalam pada itu, Fuziah turut menegaskan bahawa Kerajaan Madani akan terus memberi tumpuan bagi memastikan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan dapat diperkukuhkan.Ditanya sama ada sebarang perkembangan kerjasama politik boleh memberi cabaran kepada kerajaan, beliau berkata, perkara tersebut terbuka kepada tafsiran pelbagai pihak."Itu terbuka untuk terjemahan masing-masing," katanya ringkas.