'Penyatuan UMNO-Pas atas dasar gabungan politik tidak akan bertahan lama' - Puad

SHAH ALAM - Penyatuan UMNO dan Pas mesti bersifat menyeluruh, merangkumi agenda memperkasakan kaum Melayu, agama Islam, institusi Raja-Raja Melayu, ekonomi serta pendidikan.Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, sekiranya penyatuan terjalin atas dasar gabungan politik semata-mata demi mahu memenangi pilihan raya, dibimbangi ia tidak bertahan lama atau bersifat sementara sahaja.Menurut Mohd Puad, beliau mengakui agak skeptikal dengan perkara tersebut, melihat kepada konteks persoalan sama ada UMNO dan Pas berjaya menyatupadukan orang Melayu melalui gabungan politik.Beliau berpendapat bahawa pendekatan terbaik ialah jalinan menerusi Muafakat Nasional (MN) sebagai wadah untuk berbincang dan bermuafakat secara menyeluruh."Bukan setakat soal pembahagian kerusi 'kau (Pas) bertanding di mana, kita (UMNO) di mana'. Kita taknaklah ada sesetengah orang melihat tsunami Melayu ini dalam konteks nak menang pilihan raya semata-mata. Ia mesti lebih daripada itu."Tetapi kalau atas nama gabungan politik, maka saya bimbang ia bersifat sementara. Sebenarnya cadangan Ketua Pemuda UMNO ini bagus, tapi kita pun nak tengok juga apa pendirian Pas."Nanti orang kata UMNO bertepuk sebelah tangan atau dikatakan ‘hidung tak manjung, pipi tersorong-sorong’. Jadi, perkara ini perlu difikirkan secara menyeluruh berserta motifnya, kalau tak ia akan bersifat sementara," katanya.Beliau berkata demikian mengulas cadangan yang dibentangkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menerusi saluran Youtube Omar Puad Podcast pada Sabtu.Sinar Harian melaporkan, Dr Muhamad Akmal menyatakan hasrat agar UMNO dan Pas dapat bersatu demi membentuk penyatuan orang Melayu.Berucap dalam Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), beliau turut menggesa agar satu ketetapan dibuat dalam konvensyen sayap parti untuk UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.Ujarnya, keputusan tersebut perlu dibuat secara kolektif dan berprinsip demi menjaga maruah serta hala tuju parti, khususnya dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.Mengulas lebih lanjut tentang keluar daripada kerajaan, Mohd Puad berpandangan, tidak pernah timbul soal takut untuk menjadi pembangkang kerana selain usul penyatuan UMNO dan Pas, desakan berbuat demikian juga bukan isu baharu.Beliau turut menyingkap sejarah panjang antara UMNO dan Pas yang pernah bekerjasama membentuk kerajaan campuran di Terengganu, Kelantan serta Kedah pada 1973 lampau.Jelasnya, perlu ada pencerahan tentang maksud 'keluar daripada kerajaan' atau 'keluar daripada Kabinet' kerana ia dua perkara berbeza.Bagaimanapun, kata Mohd Puad, sebaiknya usul tersebut diserahkan kepada MKT UMNO untuk membuat keputusan sewajarnya demi kebaikan dan masa depan parti."Tidak timbullah soal takut jadi pembangkang, sekarang pun UMNO pembangkang di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis."Saya yakin, Dr Muhamad Akmal menyatakan pendirian tersebut, sebenarnya beliau melihat dari sudut masa depan UMNO supaya parti kekal relevan," ujar bekas ahli Parlimen Batu Pahat itu lagi.Dalam masa sama, Mohd Puad menyarankan supaya nama Muafakat Nasional digantikan dengan panggilan baharu yang tidak memfokuskan gabungan politik hanya untuk meraih kemenangan pilihan raya.Ia kerana beliau secara peribadi menganggap nama Muafakat Nasional sudah rosak dan 'busuk'.