SHAH ALAM – DAP diingatkan supaya tidak mencampuri urusan dalaman MCA atau menentukan hala tuju parti tersebut.Ketua Penerangan Pemuda MCA yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN), Neow Choo Seong berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke."Ingat, DAP juga tidak perlu sibuk dan beritahu apa MCA perlu buat. Cermin untuk anda," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.Terdahulu, Anthony dilaporkan menasihatkan akar umbi DAP agar tidak mengikut rentak pihak lain serta tidak mudah diprovokasi berhubung isu desakan supaya parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan.Menteri Pengangkutan itu berkata, DAP tidak akan membuat sebarang keputusan berdasarkan tekanan mana-mana pihak, sebaliknya akan menentukan hala tuju parti mengikut pertimbangan sendiri demi kepentingan parti dan pengundi yang diwakili.Kenyataan tersebut dipercayai susulan tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang mencabar DAP supaya meletakkan jawatan di Melaka memandangkan parti itu merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri yang diterajui BN.Muhamad Akmal pada masa sama turut menggesa agar satu ketetapan dibuat supaya UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.