KUANTAN - Dua pegawai dan lima anggota polis ditahan kerana disyaki terlibat penyalahgunaan dadah di sebuah kedai di Mentakab pada Sabtu. Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kesemua anggota dan pegawai lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu ditahan dalam serbuan pada 2.15 pagi. "Saya mengesahkan tangkapan itu dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati seorang pegawai dan lima anggota positif dadah," katanya ketika dihubungii pada Ahad. Yahaya berkata, mereka kini direman hingga Sabtu bagi siasatan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama. Menurutnya, polis tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku dan sekiranya didapati bersalah, penyelia mereka juga akan dikenakan tindakan. Difahamkan, selain dua pegawai berpangkat Inspektor dan lima anggota berpangkat Koperal serta Lans Koperal itu, turut ditahan dua wanita Thailand dan seorang lelaki tempatan. - Bernama