Serangan Venezuela: Dunia mesti bersatu halang kerakusan AS, sekutu

SHAH ALAM - Sudah tiba masanya negara di seluruh dunia bersatu sekali gus menghalang kerakusan Amerika Syarikat (AS) serta sekutunya daripada terus bermaharajalela dan bertindak di luar batas undang-undang antarabangsa.Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa Pas Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pihaknya mengecam keras tindakan AS mencabuli kedaulatan dan menyerang Venezuela, disusuli penculikan Presidennya, Nicolas Maduro bersama isteri.Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu, tindakan keji tersebut jelas melanggar undang-undang antarabangsa, apatah lagi menculik seorang Presiden yang sah bagi sebuah negara berdaulat tanpa sebarang asas kukuh."Dunia perlu bertindak segera menghalang AS daripada terus bermaharajalela menyerang sesebuah negara mengikut kehendaknya."Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bersidang esok perlu mengenakan sekatan dan tekanan amat keras ke atas AS."Tindakan AS bukan hanya mampu menggugat kestabilan rantau Amerika Selatan, bahkan berpotensi membuka ruang konflik yang lebih besar di seluruh dunia serta mengheret banyak negara ke dalam kancah peperangan. Kembali kepada penyelesaian Islam," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.Presiden AS, Donald Trump pada Sabtu mengesahkan pasukan tenteranya berjaya menawan pemimpin haluan kiri Venezuela, Maduro selepas melancarkan serangan berskala besar yang menggegarkan Amerika Selatan.Beliau menerusi platform Truth Social memaklumkan Maduro bersama isterinya telah diterbangkan keluar dari negara itu.Trump turut mengadakan sidang media berhubung perkembangan konflik itu pada jam 11 pagi (waktu tempatan) di kediamannya, Mar-a-Lago di Florida.Terdahulu, ibu kota Caracas digegarkan dengan siri serangan jam 2 pagi (waktu tempatan) hingga menyebabkan Maduro terpaksa mengisytiharkan darurat.Terbaharu, mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB mengenai Venezuela bakal diadakan esok, lapor agensi berita Rusia TASS yang memetik wakil tetap baharu negara itu ke Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah, Dmitry Polyansky.Polyansky memaklumkan, mesyuarat dijadualkan berlangsung pada jam 6 petang waktu Moscow (3 petang GMT).