SHAH ALAM – Platform tempahan slot restoran Rembayung milik pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming mengalami gangguan hanya lima minit selepas dibuka pada jam 9 malam.Tempahan untuk tempoh tujuh hari bermula 6 Januari itu menyaksikan sambutan luar biasa daripada orang ramai sehingga menyebabkan sistem tempahan dalam talian tersebut tidak dapat diakses sepenuhnya dalam tempoh singkat.Bagaimanapun, proses tempahan diteruskan sehingga jam 10 malam dengan 2,641 pelanggan berjaya mendapatkan slot sepanjang tempoh ditawarkan.Perkembangan tersebut dikongsikan menerusi siaran langsung Khairul Aming di TikTok yang turut memaklumkan pasukannya sedang berusaha memastikan pengalaman tempahan lebih lancar pada masa akan datang, susulan permintaan yang tinggi di luar jangkaan.Fenomena itu sekali gus mencerminkan minat tinggi orang ramai untuk mencuba sajian di Rembayung yang sebelum ini sering dipromosikan di platform media sosial beliau.Sementara itu, platform tempahan tersebut turut menerima perhatian pengguna di media sosial apabila ramai meluahkan kekecewaan kerana tidak berjaya mengakses dalam tempoh tempahan dibuka.Rembayung merupakan restoran pertama usahawan kelahiran Kelantan itu dengan kos pembinaan berjumlah RM4 juta.Restoran itu dibina di atas tanah seluas 8,000 kaki persegi di Kampong Bharu, sembilan minit dari pusat beli-belah KLCC atau Menara Berkembar Petronas.