Peminat terkejut lihat perubahan fizikal Fury

BEKAS juara heavyweight dunia, Tyson Fury kembali menjadi tumpuan dunia tinju apabila memuat naik rakaman latihan terbaharunya, namun bentuk fizikalnya yang kelihatan semakin ‘berisi’ mengundang kerisauan dalam kalangan peminat.Petinju yang digelar 'The Gypsy King' itu kini giat mempersiapkan diri untuk kemungkinan kembali ke gelanggang.Fury sebelum ini menggantung sarung tinjunya 12 bulan lalu selepas mengalami kekalahan dua kali berturut-turut kepada Oleksandr Usyk pada 2024.Bagaimanapun, difahamkan pelan untuk dia membuat kemunculan semula pada tahun ini sudah diatur.Misi pertamanya dijangka merupakan satu perlawanan pemanas badan pada suku pertama 2026.Sekiranya dia berjaya melepasi halangan tersebut tanpa sebarang kecederaan, penganjur sukan dari Arab Saudi, Turki Alalshikh Turki Alalshikh menaruh harapan besar untuk menganjurkan pertembungan 'all-British' yang dinanti-nantikan menentang Anthony Joshua pada musim panas.Sebagai persiapan untuk kemungkinan menjadi kempen terakhir dalam kariernya, Fury telah terbang ke Thailand untuk menjalani latihan bersama juara bridgerweight WBC, Kevin Lerena.Klip video ringkas yang memaparkan sesi latihan pad work Fury mendedahkan bahawa tumbukan jab masih berbisa dan dia bijak mengawal jarak ketika bergerak bersama Lerena.Namun, topik utama yang menjadi bualan hangat peminat adalah saiz badan juara dunia heavyweight dua kali itu.Walaupun Fury tidak pernah dikenali dengan tubuh badan berotot sasa atau 'six-pack', petinju berusia 37 tahun itu kelihatan jauh lebih besar berbanding kebiasaan.Meninjau di ruangan komen media sosial, rata-rata peminat meluahkan kebimbangan mereka melihat keadaan fizikal Fury."Dia ada banyak berat badan untuk diturunkan!" tulis seorang peminat yang risau.Seorang lagi netizen menulis: "Nampak macam dia perlukan kem latihan selama 14 bulan."Manakala seorang lagi menambah: "Fury dah naik berat badan yang sangat banyak," katanya.