GEORGE TOWN – Seorang wanita warga emas maut selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian di Jalan Lembah Permai, Tanjung Tokong di sini lewat malam Ahad.Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa berusia 67 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak ke atas jalan raya akibat pelanggaran tersebut.Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kemalangan melibatkan seorang pejalan kaki wanita dan sebuah SUV yang dipandu lelaki warga asing berusia 51 tahun.Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati SUV berkenaan sedang bergerak dari arah Jalan Mount Erskine menghala ke Jalan Tanjung Bungah sebelum melanggar mangsa yang sedang melintas jalan dari kiri ke kanan."Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke atas permukaan jalan dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Beliau berkata, ujian saringan kandungan alkohol yang dijalankan ke atas pemandu SUV mendapati lelaki terbabit disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan."Susulan itu, pemandu berkenaan telah ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan lanjut."Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian," ujarnya.