Venezuela dalam dua cerita

MINGGU pertama Januari - dunia masih bercerita tentang sambutan tahun baru dan percikan bunga api dan tiba-tiba dikejutkan dengan percikan dan dentuman yang lebih kuat.Dunia tiba-tiba terjaga dengan satu berita besar dan membacanya dengan dua cerita yang berbeza.Kota Caracas, Venezuela diletakkan dalam keadaan darurat dan Presiden Venezuela, Nicolás Maduro, ditahan (atau diculik).Ini konflik berskala tinggi yang melibatkan campur tangan asing dalam urusan negara dan ketidakstabilan domestik.Butiran rinci apa yang berlaku terlalu sukar untuk diperoleh. Namun naratifnya telah tersebar jauh. Ia lebih pantas dari fakta lengkap konflik itu sendiri.Bagi sebahagian dunia, ini ialah peristiwa penting. Bagi sebahagian yang lain, ia hanyalah basa-basi kisah dan pengulangan terma sejarah.Dalam versi cerita pertama, usaha Amerika Syarikat dilabel sebagai penguatkuasaan undang-undang antarabangsa yang mulus.Maduro digambarkan bukan sebagai ketua negara, tetapi sebagai individu yang telah lama dikaitkan dengan tuduhan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan rangkaian jenayah rentas sempadan.Terma yang diulang-ulang secara konsisten dan tersusun: accountability, rule of law, restoring democracy (akauntabiliti atau kebertanggungjawaban, kedaulatan undang-undang, pemulihan demokrasi).Dalam bingkai naratif yang tersusun ini, kekerasan bukan matlamat tetapi tindakan terakhir selepas diplomasi dan sekatan ekonomi gagal dilaksanakan.Naratif sebegini kemas tidak muncul secara tiba-tiba. Malah sejak 2017, Venezuela berdepan sekatan ekonomi yang semakin ketat.Lebih 7 juta rakyatnya berhijrah meninggalkan negara itu dalam tempoh sedekad kebelakangan ini.Di media tempatan, krisis tenaga elektrik dan kekurangan bekalan asas menjadi kandungan berita berulang.Dalam bingkai naratif ini, operasi ketenteraan dan perang dilihat sebagai penamat paling ideal kepada kegagalan berpanjangan sebuah rejim.Namun, pada hari yang sama, versi cerita kedua bergerak dan ia kedengaran agak logik walaupun berbeza.Bagi negara Amerika Latin, Asia dan sebahagian Eropah, peristiwa yang sama dibaca sebagai isu kedaulatan.Isu sebuah negara yang dicabul haknya secara terbuka di awal tahun baru 2026.Penahanan atau penculikan seorang ketua negara dianggap sebagai pendekatan tidak wajar.Terma yang diulang berakar pada ingatan sejarah: intervention, aggression, imperial behaviour (campur tangan, pencerobohan, tingkah laku imperialis).Dalam sudut pandang naratif di cerita kedua ini, ia bukan persoalan sama ada Maduro bersalah atau tidak, tetapi siapa yang berhak menentukan kedaulatan negara.Siapa yang berhak merampas hak rakyat. Siapa yang memutuskan negara ini wajar diperangi.Garis masa dan ingatan sejarah luka menjadi penting di sini. Dunia masih mengingati Saddam Hussein di Iraq pada 2003, Muammar Ghadafi di Libya pada 2011, Mullah Mohamed Omar dan rejim Taliban selepas 2001.Operasi ketenteraan di negara dan wilayah tersebut bermula dengan bahasa moral dan naratif yang meyakinkan.Namun lihatlah pengakhirannya kini. Ketidakstabilan menjadi wajah dalam derita yang panjang.Hujah sejarah dan realiti hari ini membentuk cara khalayak global membaca Venezuela.Ia bukanlah pendekatan yang baik dan bukan kes terasing. Ia sebagai sebahagian daripada pengulangan sejarah.Dua naratif ini hidup daripada pengalaman, pemerhatian dan pemahaman yang berbeza.Negara yang jarang disentuh campur tangan asing cenderung membaca peristiwa ini sebagai tindakan yang dilihat realistik dan wajar.Negara yang pernah menjadi padang mainan kuasa besar pula membaca secara skeptikal dan curiga.Reaksi pertubuhan antarabangsa mencerminkan realiti pertembungan ini. Kenyataan yang berhati-hati menyeru kepada ketenangan, dialog dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa.Ini bukan pendekatan diplomasi yang rutin. Ia tanda bahawa dunia gagal mencapai satu cerita yang sama.Paling signifikan pastinya negara-negara yang memilih untuk diam. Tidak menyokong. Tidak mengecam. Tidak berpihak. Diam ini bukan tidak ada pendirian tetapi inilah strategi bertahan.Dalam dunia yang menyaksikan moral digunakan secara selektif, ramai memilih untuk tidak terikat dengan mana-mana naratif besar.Fakta di Venezuela tidak boleh dinafikan. Negara tersebut mengalami krisis ekonomi yang parah. Sistem politiknya bermasalah. Rakyatnya menanggung akibatnya.Namun dalam politik antarabangsa, fakta jarang sendirian. Ia sentiasa ditemani oleh media, kuasa, siapa yang memegang mikrofon dan siapa yang menulis sejarah.Venezuela kini menjadi lebih daripada sebuah krisis nasional. Ia menjadi medan ujian komunikasi global.Satu cerita bercakap tentang undang-undang dan ruang untuk membetulkan. Satu lagi bercakap tentang kedaulatan dan ingatan sejarah.Selagi dunia terus membaca tragedi di Venezuela melalui dua cerita yang bertentangan itu, konflik sebenar kini bukan sekadar di lapangan kuasa tetapi siapa yang berhak menentukan makna keadilan itu sendiri.Venezuela berada dalam krisis kerana kegagalan pengurusan ekonomi dan kewangan, kebergantungan berlebihan kepada sektor minyak serta kelemahan institusi yang berpanjangan.Inflasi tinggi, kekurangan barangan asas dan penghijrahan besar-besaran rakyat bukan berlaku secara tiba-tiba, tetapi hasil keputusan dasar yang berlarutan tanpa pembetulan segera berkesan.Ini realiti yang perlu dibaca sebagaimana adanya.Kita pula wajarlah membaca dua cerita ini sebagai iktibar bersama sebelum kesilapan yang sama berulang dengan nama yang berbeza.*Syirfan Indra Mitra Surya Hussin ialah penyelidik dalam bidang media dan komunikasi, dengan kepakaran yang memfokuskan kepada kewartawanan baharu, komunikasi strategik dan industri kreatif