Banci Ekonomi 2026 dilaksana tiga fasa, babit 1.34 juta pertubuhan perniagaan

PUTRAJAYA - Pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 (BE2026) yang bermula 5 Januari hingga 31 Oktober tahun ini akan dilaksanakan mengikut tiga fasa, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).Fasa pertama bermula 5 Januari hingga 28 Februari ini melibatkan pengumpulan data bagi pertubuhan sektor informal dan mikro, fasa kedua (1 Mac sehingga 30 Jun) untuk kategori pertubuhan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) manakala yang ketiga (1 Jun hingga 31 Oktober) membabitkan pertubuhan sederhana serta besar.Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, banci kali keenam sejak diperkenalkan pada 2001 itu dijangka meliputi 1.34 juta pertubuhan perniagaan di peringkat nasional, termasuk 180,000 di tiga Wilayah Persekutuan (WP)."Berdasarkan rekod terkini DOSM, pada 2025 pertubuhan mikro sebanyak 74.3 peratus; pertubuhan kecil (20.8 peratus); pertubuhan sederhana (1.1 peratus) dan pertubuhan besar (3.8 peratus)."Dari segi pecahan mengikut sektor pula, Perkhidmatan mengungguli peratusan tertinggi iaitu 83.6 peratus (117,778); Pembinaan dengan 8.8 peratus (74,308); Pembuatan 5.5 peratus (25,010); Pertanian 1.9 peratus (3,354) serta Perlombongan dan Pengkuarian dengan 0.2 peratus."Sebanyak 2,049 pertubuhan di Putrajaya terlibat dalam BE 2026 yang terdiri daripada pertubuhan mikro (63.5 peratus), pertubuhan kecil (25.3 peratus), pertubuhan sederhana (1.3 peratus) dan pertubuhan besar (10 peratus)," katanya.Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sesi ‘kick-off’ BE2026 yang diadakan di Pasar Tani Kekal di sini pada Isnin.Mohd Uzir memaklumkan, WP Putrajaya mempunyai struktur ekonomi yang didominasi sektor perkhidmatan, khususnya pentadbiran awam, profesional, pendidikan, kesihatan, hospitaliti, perniagaan sokongan dan aktiviti ekonomi berasaskan pengetahuan.Jelas beliau, komposisi perniagaan di Putrajaya turut merangkumi PMKS, perniagaan mikro dan aktiviti perkhidmatan informal yang menyokong fungsi Putrajaya sebagai bandar pentadbiran negara.Tambahnya lagi, banci itu turut memfokuskan lanskap ekonomi baharu dalam memberi penekanan khusus kepada ekonomi rakyat termasuk perkhidmatan bergerak, platform gig, perniagaan mikro dan aktiviti perniagaan tidak formal."Buat pertama kalinya, banci ini akan meliputi sektor informal seperti penjaja makanan, peniaga pasar tani, kedai runcit kecil dan pengusaha pengangkutan."Tidak cuma itu, rumah inap desa, pusat tuisyen, perniagaan mikro bergerak dan pelbagai aktiviti ekonomi sokongan yang menyumbang secara signifikan kepada ekosistem ekonomi setempat serta di kawasan bandar terancang seperti Putrajaya."BE2026 berperanan sebagai penanda aras baharu kepada penyusunan statistik ekonomi negara seperti Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mengikut sektor dan industri, Jadual Input-Output (IO) serta pelbagai indeks utama industri serta harga," ujar beliau.Tambah Mohd Uzir, pihaknya menyasarkan semakan semula tahun asas baharu kepada 2025, dijangka diguna pakai mulai 2028 selari penggunaan data ekonomi terkini.Ini kerana menurutnya, Malaysia masih menggunakan tahun asas 2015 dalam konteks pengukuran data ekonomi.Dalam masa sama katanya, kemas kini data terbaharu perlu dibuat agar ia selari dengan situasi sebenar ekonomi negara pasca pandemik Covid-19."Tahun asas biasanya kita mahukan tahun yang normal, apabila DOSM buat Banci Ekonomi 2023, kita anggap model pemulihan negara selepas Covid-19."Jadi, kebanyakan data masih lagi tidak diselaraskan mengikut garis dasar yang baharu. Kalau kita lihat KDNK, tahun asas masih lagi 2015, sama juga dengan indeks-indeks lain."Kalau dapat lebih awal itu bonus, 2028 kira jatuh wajib sebab tak jauh sangat. Data tersedia pada 2027 (suku tahun pertama) dan proses mesti berjalan. Harapannya pada 2028 kita sudah guna tahun asas baharu iaitu 2025," jelasnya lagi.