HULU LANGAT – Dua jam sebelum menghembuskan nafas terakhir, Abdul Hamid Muhammad Taufik, 29, masih sempat menunaikan solat Zohor berjemaah di Surau Madrasah Ahmadiyah Diniyah, Kampung Sungai Semungkis Batu 14 di sini, tanpa siapa menyangka itulah sujud terakhirnya sebelum rebah dan meninggal dunia akibat disengat tebuan pada 30 Disember lalu.Rakan rapat arwah, Mohd Safwan Shari, 34, berkata, Allahyarham yang juga imam ketiga di surau itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap."Pagi kejadian, arwah sempat menunaikan solat Subuh berjemaah, manakala malam sebelumnya pula dia menunaikan solat Maghrib dan Isyak di surau."Malam itu juga, arwah duduk minum di kedai sambil berborak seperti biasa, langsung tiada sebarang petanda," katanya kepada Sinar Harian.Mohd Safwan yang juga pengerusi surau itu berkata, sejurus selesai solat Zohor berjemaah, Abdul Hamid pulang ke rumah kerana mahu mengemas bagi persiapan kenduri dan bacaan Yasin sempena malam tahun baharu.Menurutnya, kejadian berlaku ketika arwah sedang menunggu juruteknik untuk menyelenggara unit penyaman udara, namun arwah mengambil inisiatif membuka dan memeriksa sendiri peralatan itu di bahagian luar rumah."Ketika itu, arwah dipercayai disengat tebuan sebelum sempat masuk ke dalam rumah untuk mencari ubat."Arwah kemudian ke rumah nenek saudaranya yang tinggal bersebelahan, namun tiba-tiba rebah di tangga dan tidak sedarkan diri," ujarnya.Katanya, ahli keluarga dan jiran yang panik tidak sempat menghubungi ambulans sebelum membawa Abdul Hamid ke Klinik Kesihatan Batu 14 untuk rawatan kecemasan.Menurut Mohd Safwan, Allahyarham dipercayai mempunyai alahan dan resdung yang menyebabkan tindak balas sengatan berlaku lebih cepat."Doktor dan kakitangan klinik melakukan CPR (bantuan kecemasan penafasan) tanpa henti lebih 30 minit, namun arwah disahkan meninggal dunia," katanya.Mohd Safwan berkata, Allahyarham yang bekerja sebagai juruteknik sebuah syarikat swasta dikenali sebagai individu yang sangat aktif dengan kegiatan surau termasuk mengetuai bacaan Yasin, tahlil, dan kerap berpuasa sunat."Malah sejak dua minggu sebelum pemergiannya, arwah kerap belanja penduduk kampung bersarapan di kedai makan tanpa pengetahuan, hanya diketahui selepas peniaga memaklumkan setelah ketiadaan arwah," jelasnya.Katanya, Allahyarham sepatutnya melangsungkan perkahwinan hujung Januari ini, namun hasrat itu tidak kesampaian."Arwah ada membuat satu permintaan yang dianggap pelik apabila meminta semua ahli kumpulan kompang kampung memakai pakaian berwarna putih pada majlis perkahwinannya nanti," luahnya.Menurutnya, Abdul Hamid merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan tinggal bersama neneknya selepas kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia beberapa tahun lalu."Pemergian arwah amat dirasai kerana dia berjaya menyatukan dua kumpulan kompang di kampung ini yang berpecah sejak sekian lama."Arwah insan baik, sentiasa memakmurkan surau dan menjadi penghubung perpaduan penduduk kampung," ujarnya.Jenazah Abdul Hamid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Seri Nanding di sini selepas solat Zohor keesokan harinya.Mohd Safwan (kanan) bersama Allahyarham Abdul Hamid (kiri) di Surau Madrasah Ahmadiyah Diniyah, Kampung Sungai Semungkis Batu 14 di sini.