SEORANG pemain bola sepak Liga 4 Jawa Timur dikenakan hukuman penggantungan seumur hidup daripada sebarang aktiviti bola sepak selepas didapati melakukan kekasaran melampau sehingga menyebabkan kecederaan serius terhadap pemain lawan.Insiden itu berlaku ketika perlawanan antara Putra Jaya Pasuruan menentang Perseta 1970 Tulungagung di Stadium Gelora Bangkalan, Indonesia, apabila pemain Putra Jaya Pasuruan, Muhammad Hilmi Gimnastiar, melakukan terjahan kasar dengan menendang dada pemain lawan, Firman Nugraha.Akibat insiden berkenaan, Firman mengalami retak pada tulang rusuk dan terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.Pengurus Perseta 1970, Rudi Iswahyudi berkata, impak tendangan itu menyebabkan pemain berkenaan berada dalam keadaan membimbangkan."Firman terkena tendangan di bahagian dada dan selepas kejadian itu dia seperti mengalami sawan. Pada sebelah malam, dia mengadu sesak nafas."Hasil pemeriksaan sinar-X mendapati terdapat retakan pada tulang rusuk bahagian bawah dan kecederaan itu dikategorikan sebagai serius serta berisiko," katanya seperti dipetik agensi berita Antara.Menurut Rudi, pemain terbabit kini masih berada dalam pemantauan rapi pasukan perubatan dan pihak pengurusan enggan mengambil sebarang risiko yang boleh mengancam keselamatan nyawanya.Susulan tindakan ganas yang tular di media sosial, Jawatankuasa Disiplin (Komdis) Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) Jawa Timur bertindak tegas dengan menjatuhkan hukuman penggantungan seumur hidup terhadap Muhammad Hilmi.Pengerusi Komdis PSSI Jawa Timur, Samiadji Makin Rahmat berkata, perbuatan itu merupakan pelanggaran serius terhadap Kod Disiplin PSSI."Perbuatan menendang pemain lawan sehingga mengakibatkan kecederaan parah adalah satu bentuk keganasan dan pelanggaran berat."Oleh itu, kami mengenakan hukuman tambahan berupa larangan beraktiviti dalam bola sepak seumur hidup," katanya.Selain penggantungan, pemain terbabit turut dikenakan hukuman denda.Menurut Makin, hukuman berat itu bertujuan memberi pengajaran kepada pemain terbabit serta menjadi peringatan keras kepada semua pemain supaya menjunjung tinggi nilai kesukanan."Ini bola sepak, bukan seni bela diri. Kami tidak mahu kejadian sama berulang," katanya.