Skandal Lebuh Raya MEX II: Adam Radlan telah dirakam keterangan bantu siasatan

KUALA LUMPUR - Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad telah dirakam keterangan Disember lalu bagi membantu siasatan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan cadangan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau MEX II.Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Adam Radlan dipanggil bagi memberi penjelasan berhubung jumlah wang yang didakwa dikeluarkan oleh tertuduh."Ia termasuk sama ada wang berkenaan digunakan untuk dirinya atau disalurkan kepada pihak lain."Adam Radlan ialah saksi, jadi beliau bebas keluar masuk dalam negara dan siasatan membabitkan MEX II ini masih diteruskan," katanya menerusi laporan media tempatan pada Rabu.Azam berkata, siasatan itu tidak hanya melibatkan seorang individu sebaliknya turut membabitkan beberapa saksi lain."Ia bukan membabitkan beliau seorang sahaja tetapi beberapa saksi lain, lebih kurang 29 atau 30 orang."Selain itu siasatan turut menumpukan pada wang diberikan pihak tertuduh sebelum ini dan ini menjadi satu perkara subjek yang kita nak tahu berapa banyak wang sebenarnya sudah dikeluarkan," katanya.Tambah beliau, SPRM akan meneruskan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti aliran kewangan serta peranan setiap individu yang terlibat dalam kes berkenaan.10 Disember lalu, SPRM mengesahkan Adam Radlan akan memberikan keterangan dalam tempoh terdekat berhubung siasatan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau MEX II.Azam berkata, Adam telah memberi jaminan untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihaknya.Adam sebelum ini berada di luar negara dan SPRM kemudiannya menghubungi beliau, tambahnya.Beliau berkata, Adam juga telah memberi maklum balas kepada SPRM dan peguamnya, Tan Sri Shafee Abdullah turut menghantar surat kepada kami bagi memberikan jaminan berkaitan perkara itu.Sebelum ini, media melaporkan bahawa Adam membantu siasatan berkaitan projek MEX II yang menghubungkan Persimpangan Putrajaya ke KLIA.Untuk rekod, Adam sebelum ini turut disiasat berkaitan projek Jana Wibawa.Bagaimanapun, beliau telah dilepas dan dibebaskan daripada 12 pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram.