GEORGE TOWN - Pemecatan Datuk Seri Saifuddin Abdullah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencetuskan persoalan serius terhadap keabsahan proses dan pematuhan Perlembagaan parti berikutan ia dibuat tanpa melalui persidangan rasmi Lembaga Disiplin.Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, isu tersebut perlu dilihat sebagai soal Perlembagaan parti dan bukannya soal mempertahankan individu."Saya ingin menyatakan pendirian secara jelas dan terbuka berhubung keputusan pemecatan itu demi kepentingan proses disiplin yang sah."Hakikat bahawa tiada persidangan rasmi oleh Lembaga Disiplin tidak boleh diselindung dengan kenyataan umum, alasan pentadbiran atau tafsiran longgar terhadap Perlembagaan parti," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Sebagai seorang peguam, Khaliq menegaskan bahawa tindakan disiplin yang memintas tatacara ditetapkan bercanggah dengan semangat keadilan.Beliau berkata, pemecatan tanpa melalui proses Lembaga Disiplin bukan isu teknikal kecil, sebaliknya menyentuh soal keabsahan dan legitimasi keputusan yang dibuat oleh parti.Dalam masa sama, beliau menolak tanggapan kononnya pendiriannya itu bersifat sokongan peribadi terhadap Saifuddin."Saya tidak mempertahankan mana-mana individu. Apa yang saya pertahankan ialah Perlembagaan, proses yang sah dan integriti parti," tegasnya.Katanya lagi, apabila proses disiplin dipintas, keputusan yang terhasil bukan lagi ketegasan kepimpinan tetapi boleh ditafsirkan sebagai penyalahgunaan kuasa."Saya berasa dukacita apabila kecacatan proses tersebut dilihat cuba ditutup dengan naratif kononnya demi disiplin dan tanggungjawab kolektif parti."Ini bukan budaya parti yang berperlembagaan, tetapi budaya arahan tanpa semak dan imbang," ujarnya.Tambahnya, sebagai pengamal undang-undang, beliau berasa agak malu apabila terpaksa menjelaskan kepada umum perkara asas bahawa keadilan bukan sekadar keputusan tetapi juga proses."Tanpa proses yang betul, keputusan itu rapuh, mudah dicabar dan akhirnya memalukan parti sendiri."Amalan seperti itu membuka ruang kepada ketidakadilan terhadap ahli lain dalam Bersatu," katanya lagi.Menurutnya, jika seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi boleh dipecat tanpa persidangan rasmi Lembaga Disiplin, maka sesiapa sahaja dalam parti boleh menjadi mangsa pada masa hadapan ."Parti yang membenarkan perkara ini sedang mengajar ahlinya bahawa Perlembagaan boleh diketepikan apabila tidak selari dengan kehendak kuasa," jelasnya lagi.Justeru, beliau menuntut supaya Bersatu kembali mematuhi tatacara disiplin seperti yang telah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan parti."Disiplin dan ketegasan parti hanya membawa makna jika dilaksanakan melalui proses yang sah serta berlandaskan undang-undang."Disiplin tanpa Perlembagaan bukan disiplin. Ketegasan tanpa proses bukan kepimpinan," katanya.Beliau turut mengingatkan bahawa tiada siapa lebih besar daripada Perlembagaan parti termasuk pimpinan yang memegang kuasa tertinggi."Bersatu tidak akan dihormati jika ia sendiri gagal mematuhi Perlembagaannya."Saya berharap persoalan yang dibangkitkan ini dijadikan pengajaran penting agar proses keadilan dalaman parti tidak lagi dipintas pada masa hadapan," katanya.Terdahulu, Bersatu memecat Saifuddin yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, berkuat kuasa pada Selasa.Perkara itu disahkan Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid.Harris Idaham berkata, Saifuddin telah melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti, namun tidak memperincikan kesalahan khusus yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota itu.