Tunku Azizah tidak pernah tawar bantuan melalui Whatsapp, media sosial

KUANTAN – Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tidak pernah menawarkan bantuan wang tunai kepada orang ramai melalui media sosial dan WhatsApp seperti yang tular baru-baru ini.Penafian itu dibuat Istana Pahang menerusi satu hantaran di laman sosial Kesultanan Pahang pada Rabu.Kenyataan itu dikeluarkan susulan tersebarnya mesej yang menggunakan nama ‘Tengku Azizah’ atau ‘Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah’, dipercayai bertujuan memperdaya masyarakat dengan tawaran wang lumayan serta meminta maklumat peribadi mangsa.Menurut kenyataan itu, tindakan tersebut merupakan cubaan penipuan yang tidak bertanggungjawab dan berpotensi menjejaskan imej institusi diraja."Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati, menilai kesahihan maklumat, dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran palsu yang disebarkan melalui media sosial," katanya.Sehubungan itu, orang ramai digesa segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya dihubungi atau menerima sebarang mesej mencurigakan atas nama Tunku Azizah.