Remaja 13 tahun meninggal dunia, polis sahkan tiada unsur jenayah

MELAKA - Seorang remaja lelaki ditemukan tidak sedarkan diri oleh ibu bapanya di dalam bilik air yang berkunci di rumah mereka di sebuah taman perumahan di sini semalam yang kemudian disahkan meninggal dunia di hospital.Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa berusia 13 tahun itu ditinggalkan bersendirian di rumah mereka selepas ibu dan bapanya keluar kerana mempunyai urusan di Melaka Raya pada 8 pagi semalam."Bagaimanapun, sebaik sahaja sampai di rumah kira-kira 11.30 pagi, ibu bapa mangsa memanggilnya namun tiada respons sebelum mereka terdengar bunyi air (mengalir) di bilik air. Mereka cuba memeriksa namun pintu berkunci dari dalam."Bapa mangsa yang berusia 50 tahun kemudian bertindak memecahkan pintu bilik air dan mendapati remaja lelaki itu dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri di atas lantai sebelum menariknya keluar manakala isterinya menelefon ambulans untuk mendapatkan bantuan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.Beliau berkata, ambulans tiba pada jam 12 tengah hari dan membawa mangsa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan dengan bantuan pernafasan turut diberikan doktor selama 30 minit, namun mangsa tidak dapat diselamatkan.Patit berkata, polis telah melakukan pemeriksaan ke atas tubuh mangsa dan tidak menemukan sebarang unsur jenayah manakala punca kematian masih dalam siasatan. - Bernama    TAG: Melaka, polis, remaja lelaki, bilik air, ACP Christopher Patit