KANGAR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 25 Februari untuk pengurusan kes saman pemula yang difailkan oleh tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Rus’sele Eizan, dan DUN Perlis berhubung pengisytiharan kekosongan luar jangka bagi kerusi yang diwakili mereka.Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas menetapkan tarikh tersebut semasa kes disebut di hadapannya.Tiga bekas ADUN itu, Mohd Ridzuan Hashim, Fakhrul Anwar Ismail dan Saad Seman diwakili peguam Mohd Jamil Yaacob manakala Speaker DUN dan DUN Perlis diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, Yang Zaimey Yang Ghazali bersama Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, Che Rohana Ismail.Saman pemula itu difailkan pada 2 Januari lalu, dengan menamakan Rus’sele sebagai defendan pertama dan DUN Perlis sebagai defendan kedua.Sebelum itu, pada 25 Disember lalu, Rus’sele mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji selepas keahlian tiga wakil rakyat Pas itu terhenti serta-merta, selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.Keputusan tersebut dibuat susulan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pada 24 Disember lalu yang memaklumkan bahawa keahlian ketiga-tiga ADUN terbabit terhenti berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan Pas (Pindaan 2025). – Bernama