SHAH ALAM – Isu vape kini bukan hanya tentang tabiat merokok alternatif, ia telah menjadi cabaran sosial dan kesihatan, terutamanya melibatkan golongan muda.Namun, pengharaman menyeluruh dilihat berisiko mewujudkan pasaran gelap, di mana pengguna terdedah kepada produk tidak selamat dan tanpa piawaian kawalan.Dalam konteks ini, kawal selia ketat terhadap rokok elektronik atau vape dilihat lebih realistik dan berkesan untuk mengekang ancaman tersebut.Menurut Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang bersetuju dengan pengharaman vape, tetapi menegaskan ia perlu difokuskan kepada produk tertentu sahaja, khususnya sistem terbuka (open tank) dan produk yang menyasarkan kanak-kanak."Open tank mudah dimanipulasi. Pengguna boleh mencampurkan cecair sendiri tanpa kawalan, membuka ruang penyalahgunaan dadah atau bahan kimia berbahaya."Tambahan pula, harga murah akibat cukai rendah meningkatkan penggunaan dalam kalangan remaja. Cukai perlu dinaikkan," jelasnya.Pada Selasa, media melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan untuk melaksanakan pengharaman vape bermula dengan jenis sistem terbuka, tahun ini.Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).Wan Ahmad Fayhsal menambah, pengharaman total termasuk sistem pod tertutup boleh mendorong sejuta pengguna beralih ke pasaran gelap."Sejarah di Singapura, Australia dan negara lain menunjukkan pengharaman jarang berjaya. Kita perlu kawal selia, bukan sekadar mengharamkan, supaya boleh memantau siapa membeli dan apa kandungannya Jepun contohnya berjaya mengimbangi isu kesihatan, kewangan fiskal dan persekitaran," katanya.Malaysia baru sahaja meluluskan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).Wan Ahmad Fayhsal menekankan, kerajaan wajar menilai keberkesanannya terlebih dahulu sebelum melakukan perubahan drastik."Pengharaman keseluruhan tidak akan menyelesaikan masalah. Jika semua jenis vape diharamkan, negara bukan sahaja kehilangan hasil cukai, tetapi pasaran akan dikuasai sindiket penyeludupan," katanya.Bagaimanapun, beliau berkata, pengharaman sistem terbuka wajar diteruskan demi keselamatan awam, tetapi produk tertutup yang boleh dikawal selia tidak sepatutnya diharamkan.Fokus harus kepada kawal selia ketat, larangan terhadap yang berbahaya dan cukai progresif bagi menaikkan harga supaya produk tidak mampu milik untuk pelajar tetapi masih alternatif bagi perokok tegar.Sementara itu, pakar percukaian menegaskan pengharaman menyeluruh merugikan negara. Industri vape dianggarkan bernilai RM3.5 bilion, namun ketirisan hasil akibat penguatkuasaan lemah dan cukai tidak komprehensif boleh mencecah ratusan juta setahun."Jika semua vape diharamkan, ratusan juta akan beralih ke pasaran gelap. Kerajaan pula perlu menanggung kos rawatan kesihatan tanpa kutipan hasil. Ini tidak bijak," kata pakar tersebut.Struktur cukai semasa 40 sen per mililiter terlalu rendah, harga murah menjadikan vape mudah diakses remaja.Kerajaan disarankan menaikkan cukai progresif dan mencontohi United Kingdom, di mana cukai mengikut kandungan nikotin dan hasilnya disalurkan ke sistem kesihatan awam.United Kingdom tidak mengharamkan sepenuhnya vape, sebaliknya mengenakan cukai lebih tinggi bagi kandungan nikotin tinggi.Strategi itu bukan sahaja menambah pendapatan negara, tetapi juga berfungsi sebagai alat kawalan kesihatan, di mana hasil cukai disalurkan kembali untuk membiayai program berhenti merokok."Jika kita haramkan kesemuanya, kerajaan akan ‘rugi dua kali’, hasil cukai berbilion akan hilang, tetapi kos rawatan masih tetap kita tanggung mengunakan kewangan negara," tambah pakar percukaian tersebut.Sementara itu, Timbalan Presiden Harm Reduction Action Network (HaRAN), Datuk Dr Sha’ari Ngadiman menyokong penguatkuasaan yang ketat dan pada masa yang sama, pengharaman sistem terbuka vape kerana mudah dimanipulasi."Di mana ada permintaan, di situ ada bekalan. Jika semuanya diharamkan, pasaran gelap akan terus berkembang jika tiada kawalan. Larangan perlu disertai penguatkuasaan dan pendidikan, seperti di Jepun dan United Kingdom," jelasnya."Tanpa penyeliaan, keadaan ini berpotensi meletakkan beban jangka panjang terhadap sistem kesihatan negara kita yang sedia ada pun beroperasi pada kapasiti maksimum," tegas beliau yang juga mantan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor. Risiko kesihatan Pakar Kesihatan Awam, Dr Safiya Amaran menegaskan, pengharaman berperingkat, bermula dengan sistem terbuka, adalah wajar dan selari dengan pendekatan kesihatan awam antarabangsa."Tanpa kawalan ketat, beban jangka panjang terhadap sistem kesihatan awam akan meningkat. Kawal selia atau pengharaman berperingkat lebih berkesan daripada hanya mengharapkan kutipan cukai," katanya.Wan Ahmad Fasyal mengesyorkan jalan tengah sebagai polisi yang terbaik, di mana vape sistem terbuka diharamkan, manakala yang lain di kawal selia dengan ketat mengikut Akta 852."Kalau kita masih nak haramkan semua, bukan hanya kita tidak akan selesaikan isu yang lama, kita akan tambah pula masalah baru seperti pasaran gelap dan isu keselamatan, duit cukai pun hilang," ujar beliau.