Tiada lesen vokasional, CDL dan tayar tak diselenggara kesalahan tertinggi - JPJ

DENGKIL – Tiada lesen vokasional, gagal menyelenggara tayar dengan baik serta memandu tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL) antara kesalahan tertinggi direkodkan dalam Operasi Lebih Muatan yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang tahun lalu.Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sepanjang 2025, pihaknya telah memeriksa sebanyak 1.2 juta kenderaan perdagangan di seluruh negara."Daripada jumlah itu, sebanyak 240,493 kenderaan telah diambil tindakan manakala 465 kenderaan disita mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010."Statistik ini menunjukkan tahap ketidakpatuhan yang masih membimbangkan dalam kalangan pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan, khususnya berkaitan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang," katanya dalam sidang akhbar Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, pada Rabu.Beliau berkata, berbanding 2024, sebanyak 829,392 kenderaan diperiksa dengan peningkatan 35.5 peratus."Statistik turut merekodkan sebanyak 126,974 kenderaan diambil tindakan dan angka ini meningkat sebanyak 47.2 peratus."Sebanyak 69 kenderaan disita pada tahun 2024, namun angka itu melonjak kepada 465 kenderaan pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak 85.2 peratus," ujarnya.Menurutnya, antara kesalahan utama yang dikesan termasuk gagal mematuhi Notis Arahan Pemeriksaan Berkala, tiada lesen vokasional, tayar kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik serta pemandu tanpa CDL.Jelasnya, fokus utama Operasi Lebih Muatan adalah terhadap kenderaan yang melanggar had muatan dibenarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987."Selain itu, antara aspek yang diberi fokus ialah pematuhan peraturan berkaitan, termasuk aspek teknikal dan penggunaan Sistem Had Laju (Speed Limitation Device, SLD)."Penguatkuasaan ini penting bagi memastikan kenderaan perdagangan beroperasi mengikut piawaian yang ditetapkan dan tidak membahayakan keselamatan pengguna jalan raya," katanya.Beliau turut memaklumkan bahawa operasi tersebut disokong dengan pelaksanaan Audit JISA (JPJ Inspection & Safety Audit)."Pelaksanaan JISA ini bertujuan menilai tahap pematuhan keselamatan, integriti operasi serta pengurusan risiko dalam kalangan pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan."Dalam pada itu, Aedy Fadly menegaskan JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan penguatkuasaan di bawah Operasi Lebih Muatan akan terus diperkasakan secara berterusan."Langkah ini diambil bagi menjamin keselamatan jalan raya, kesejahteraan orang awam serta kelestarian sistem pengangkutan negara."Orang ramai diminta menyalurkan sebarang aduan berkaitan kesalahan kenderaan perdagangan secara terus atau masa nyata melalui aplikasi MyJPJ menerusi e-Aduan@JPJ atau e-mel ke aduantrafik@jpj.gov.my dengan maklumat lengkap bagi tindakan lanjut," katanya.