TAMPIN – Bagi kebanyakan kanak-kanak, hari pertama ke sekolah hadir bersama beg baharu, kasut bersih dan senyuman penuh harapan. Namun bagi sebahagian keluarga berpendapatan rendah, detik itu sering dibayangi kebimbangan mampukah kelengkapan asas disediakan demi masa depan anak-anak mereka?Kebimbangan itu bertukar menjadi sinar kegembiraan apabila 300 murid dari 17 sekolah sekitar Felda Pasir Besar, di sini menerima Pek Kembali Ke Sekolah hasil inisiatif Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia, sekali gus membawa senyuman dan keyakinan kepada mereka.Program yang dilaksanakan buat kali ke-10 itu menyasarkan 5,000 pek untuk diagihkan menjelang sesi persekolahan 2026, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memastikan tiada kanak-kanak tercicir hanya kerana kekangan kewangan keluarga.Inisiatif berkenaan turut diperkukuh melalui sokongan Yayasan Jaafar Ahmad (YJA) menerusi sumbangan bernilai RM50,000, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerjasama strategik dalam memperkasa pendidikan kanak kanak yang memerlukan.Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia merangkap Presiden RMHC Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, sejak diperkenalkan pada 2017, hampir 200,000 pelajar di seluruh negara telah menerima manfaat, dengan jumlah sumbangan melebihi RM12 juta."Kami berharap bantuan ini bukan sahaja memberi keyakinan kepada mereka untuk melangkah ke sekolah, malah dapat meringankan beban kewangan ibu bapa berpendapatan rendah," katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pek Kembali Ke Sekolah di Dewan Semai Bakti Felda Pasir Besar di sini baru-baru ini. Turut hadir, Pengurus Besar RMHC Malaysia, Mohd Nasri Mohd Nordin.Menurut Azmir, kajian jangka panjang bersama pihak sekolah mendapati penerima bantuan menunjukkan peningkatan keyakinan diri, sekali gus membantu mengurangkan masalah ponteng dan memperbaiki prestasi akademik."Tanpa pendidikan, kehidupan anak anak ini seolah-olah terhenti. Pendidikan adalah jalan keluar daripada kemiskinan seperti yang pernah saya alami bersama keluarga," katanya dengan penuh keinsafan.Menurut beliau, tumpuan sumbangan RMHC Malaysia tidak hanya terhad di kawasan luar bandar, malah turut merangkumi kawasan bandar yang berdepan cabaran kos sara hidup tinggi.Bagi Mohd Nasri, sokongan berterusan rakyat Malaysia serta penglibatan aktif organisasi dan sektor korporat amat penting bagi memastikan lebih banyak pihak tampil ke hadapan untuk bekerjasama dengan RMHC Malaysia dalam membantu kanak kanak dan keluarga yang memerlukan."Kami percaya kekuatan sebenar terletak pada semangat kebersamaan. Dengan sokongan orang ramai serta rakan korporat, RMHC Malaysia dapat terus memperluas bantuan kepada kanak-kanak dan keluarga yang sedang berdepan ujian sukar, khususnya dalam aspek kesihatan dan kebajikan," katanya.Suntikan semangat Sementara itu, Penasihat YJA, Zainuddin Jaafar berkata, sebagai anak jati Negeri Sembilan, beliau berbesar hati dapat menyumbang kembali kepada anak-anak negeri itu."Sokongan ini bukan sekadar bantuan material, tetapi suntikan semangat agar mereka memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin dan berani mengejar cita-cita," katanya.Secara keseluruhan 500 pek diagihkan di Negeri Sembilan daripada sasaran nasional 5,000 pek oleh RMHC. Setiap pek mempunyai beg sekolah, pakaian seragam, kasut serta set alat tulis lengkap hasil kerjasama Mydin selaku rakan strategik, bagi memastikan pelajar memulakan sesi persekolahan dengan kelengkapan berkualiti sepanjang tahun.Ringankan beban, pulihkan harapanBagi Noorfarahanaliza Jaafar, 36, bantuan itu membawa kelegaan besar apabila anak bongsunya bakal memasuki sekolah rendah tahun hadapan."Alhamdulillah, saya dapat berjimat kerana kelengkapan anak sudah di- sediakan. Biasanya saya perlu menyediakan kira-kira RM150 untuk setiap anak, terima kasih RMHC Malaysia," katanya yang mempunyai empat orang anak.Dengan pendapatan sebagai pem bantu tadika dan suami bekerja sebagai pemandu lori kelapa sawit, kos persekolahan sering menjadi beban berat buat keluarganya.Dalam pada itu, menurut waris kepada salah seorang penerima bantuan, Muhamad Rizuan Hassan, 46, bantuan itu pula ibarat penyelamat."Saya hanya ambil upah mesin rumput, isteri pula suri rumah. Pening memikirkan kos sekolah anak-anak, tetapi bantuan ini benar-benar melegakan kami," katanya.Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan agar lebih ramai keluarga kurang berkemampuan tidak terpinggir dalam soal pendidikan anak anak.Sebagai rekod, Azmir merupakan anak kelahiran Felda Pasir Besar, aktif melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan di Negeri Sembilan, termasuk usaha menambah baik fasiliti pendidikan di sekolah luar bandar, satu komitmen pulang memberi makna kepada komuniti asalnya.