Kejar 'trip' alasan pemandu bawa muatan berlebihan - JPJ

DENGKIL – Terpaksa mengejar 'trip' bagi memenuhi jadual penghantaran antara alasan yang diberikan oleh pemandu kenderaan perdagangan yang dikesan membawa muatan berlebihan.Selain itu, mereka mendakwa jumlah barangan yang perlu dibawa telah ditetapkan oleh pihak penghantar dan penerima.Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, alasan tersebut antara yang sering dikemukakan oleh pemandu kenderaan perdagangan yang dikesan membawa muatan berlebihan ketika operasi penguatkuasaan dijalankan."Keadaan ini turut menyebabkan persaingan sesama pemilik kenderaan untuk mendapatkan tugasan penghantaran ke destinasi yang sama."Persaingan harga yang tidak seimbang memaksa pemandu membawa muatan lebih bagi memperoleh upah yang lebih tinggi," katanya dalam sidang akhbar Operasi Khas Kenderaan Perdagangan dikawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil pada Rabu.Menurutnya, hasil pemerhatian semasa operasi mendapati pemandu sebenarnya mampu mematuhi peraturan sedia ada tanpa menghadapi masalah."Apabila mereka patuh, bayaran upah tetap dibayar oleh pemilik barangan, iaitu konsainor dan konsaini," katanya.Mengulas lanjut beliau berkata, sehingga kini JPJ masih belum mempunyai peruntukan perundangan khusus untuk mengambil tindakan terhadap pihak konsainor dan konsaini yang menetapkan jumlah muatan."Perkara ini sedang diteliti di peringkat kementerian bagi melihat peraturan-peraturan yang berkaitan."Sekiranya terdapat arahan atau keputusan dasar dikeluarkan, JPJ akan melaksanakannya," katanya.Beliau menegaskan bahawa penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan pematuhan undang-undang, selain menjamin keselamatan pengguna jalan raya daripada risiko kemalangan akibat muatan berlebihan.