DENGKIL – Mematikan peranti Sistem Penentu Kedudukan (GPS) merupakan antara taktik yang dikesan melibatkan sebuah lori yang ditahan dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, di sini, pada Rabu.Difahamkan, taktik itu digunakan oleh pemilik lori bagi memastikan keseluruhan sistem kenderaan dimatikan secara automatik bagi mengelakkan lori terbabit bergerak serta menyukarkan tindakan penguatkuasaan.Siasatan mendapati, sebaik sahaja GPS dipadam, keseluruhan sistem lori akan terpadam dan tidak lagi berfungsi, menyebabkan kenderaan terbabit tidak dapat digerakkan serta menyukarkan tindakan diambil.Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, perbuatan mematikan GPS merupakan antara taktik yang digunakan pemilik lori bagi menghalang JPJ daripada mengambil tindakan ke atas kenderaan terbabit."Apabila pemilik mematikan GPS di dalam lori, keseluruhan sistem kenderaan akan dimatikan secara automatik dan tidak lagi berfungsi."Ini adalah antara taktik yang digunakan kononnya untuk menyukarkan JPJ mengambil tindakan ke atas kenderaan terbabit," katanya dalam sidang akhbar Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, di sini, pada Rabu.Katanya, kesalahan mematikan GPS merupakan kesalahan berat yang boleh mengakibatkan pembatalan permit kenderaan serta lesen syarikat."Saya ingin ingatkan pemandu dan pemilik lori bahawa kesalahan mematikan GPS boleh menyebabkan permit kenderaan dibatalkan."Malah, lesen syarikat juga boleh dibatalkan sepenuhnya dan semua kenderaan tidak boleh digunakan lagi," katanya.Menurutnya, JPJ tidak akan teragak-agak membawa kes berkenaan sehingga ke peringkat pelucuthakan sekiranya kesalahan itu berterusan dan melibatkan pelanggaran undang-undang yang serius."Sekiranya kita dapati isu ini berlaku, kita akan ambil tindakan sehingga ke tahap kenderaan itu dilucut hak dan bukan lagi menjadi milik mereka," katanya.Sehubungan itu, beliau memberi peringatan keras kepada semua pemilik kenderaan supaya tidak melakukan sebarang tindakan tidak wajar seperti mematikan GPS."JPJ mempunyai kaedah tersendiri untuk membawa lori terbabit ke lokasi tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan."Saya mengingatkan semua pemilik kenderaan supaya patuh kepada peraturan undang-undang jalan raya. Sekiranya ditahan, beri kerjasama kepada JPJ dan jangan memadam GPS atau melakukan apa-apa tindakan yang akhirnya akan merugikan pemilik kenderaan serta pemandu itu sendiri," katanya.