KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang akan berlangsung minggu depan dijangka menjadi medan penting bagi parti itu menegaskan hala tuju politik serta persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).Tumpuan dijangka terarah kepada suara akar umbi, khususnya mengenai pendirian pimpinan UMNO yang mahu kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal ini, walaupun terdapat gesaan daripada Pemuda supaya parti itu keluar daripada kerajaan.Pakar Geostrategi, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, perhimpunan itu adalah platform terbaik untuk UMNO menamatkan sebarang spekulasi sama ada parti akan kekal dalam kerajaan atau mengambil keputusan sebaliknya.Bagaimanapun, felo Majlis Profesor Negara itu yakin, UMNO tidak akan mengambil sebarang keputusan drastik yang berisiko menggoncang kestabilan politik negara."Dalam perkara ini, UMNO juga perlu melihat ke depan. Adakah mereka bersedia dalam tempoh satu setengah tahun ini untuk menjadi pembangkang?"Isu-isu ini akan dibahaskan supaya imbangan pandangan lebih ideal dan tidak berat sebelah," katanya kepada Bernama.Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, isu hubungan UMNO dalam Kerajaan MADANI dijangka menjadi antara perkara yang mendominasi perbahasan perwakilan."Isu ini perlu dibincangkan secara terbuka dalam perhimpunan bagi mendapatkan mandat perwakilan sama ada UMNO akan kekal bersama Kerajaan MADANI atau mengambil haluan politik lain," katanya.Selain itu, beliau berkata, perhimpunan itu juga dijangka membincangkan usaha parti memperkukuh agenda Melayu dan Bumiputera, selain pemerkasaan parti dalam menghadapi PRU16 selepas prestasi pilihan raya lalu yang menyaksikan UMNO hanya memenangi 26 kerusi Parlimen.Sementara itu, penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, perhimpunan itu berperanan sebagai medan konsolidasi dan pengesahan sokongan ahli parti terhadap kepimpinan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) itu menyifatkan, perkara berkenaan sebagai asas penting bagi UMNO sebelum merangka strategi menghadapi PRU16."Data pilihan raya pasca PRU15 menunjukkan perpecahan dalaman melemahkan prestasi UMNO."Justeru, perhimpunan ini dijangka menegaskan bahawa kesetiaan kepada kepimpinan pusat adalah prasyarat utama penyatuan dan kebangkitan semula parti," katanya.Perhimpunan Agung UMNO 2025 akan berlangsung pada 14 hingga 17 Januari ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, selepas ditangguhkan dua kali pada Ogos dan November bagi memberi laluan kepada persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17. - Bernama