Penuntut kolej maut motosikal dirempuh kereta

KOTA TINGGI - Seorang penuntut Kolej Vokasional ERT Azizah, Johor Bahru maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 67.4 Lebuhraya Senai-Desaru di sini pada Rabu.Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, kejadian dipercayai berlaku pada jam 10.40 malam melibatkan motosikal jenis Honda Beat ditunggang mangsa berusia 20 tahun dan kereta jenis Toyota Vios dipandu wanita berusia 35 tahun."Siasatan mendapati kereta tersebut yang dalam perjalanan dari arah Bandar Penawar menghala ke Johor Bahru telah hilang kawalan sebaik tiba ke lokasi lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal terbabit."Akibatnya, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian."Pemandu kereta mengalami kecederaan sakit pada bahagian dada dan dirawat di Hospital Kota Tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Tambah Yusof, mayat pelajar Kolej Vokasional ERT Azizah yang dikenali sebagai Intan Darwiena Abdullah itu kemudiannya dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk prosedur siasatan.Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000."Pesalah juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh lima tahun," katanya.