[VIDEO] Operasi Lebih Muatan masih diteruskan tahun ini - JPJ

DENGKIL – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terus melaksanakan Operasi Lebih Muatan secara berkala dan bersasar tanpa had masa sepanjang tahun ini.Operasi itu dijalankan bagi memastikan pematuhan undang-undang oleh pemilik serta pemandu kenderaan perdagangan.Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi itu tidak bersifat sementara dan tidak akan dihentikan walaupun terdapat dakwaan bahawa penguatkuasaan berkenaan hanya dilaksanakan sehingga 31 Disember 2025.Beliau berkata, JPJ telah memulakan Operasi Lebih Muatan bagi tahun ini dan akan meneruskannya secara berterusan sebagai langkah memastikan pematuhan peraturan jalan raya khususnya melibatkan kenderaan perdagangan."JPJ akan terus melaksanakan Operasi Lebih Muatan tanpa mengira masa, operasi ini tidak berhenti pada tahun 2025 seperti yang didakwa sesetengah pihak."Pada tahun 2026 ini, operasi telah pun dimulakan dan akan diteruskan secara berkala serta bersasar, ia sama sekali tidak akan dihentikan," katanya dalam sidang akhbar Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di R&R Dengkil di sini pada Rabu.Aedy Fadly menegaskan, JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemilik atau pemandu kenderaan perdagangan yang didapati membawa muatan melebihi had ditetapkan."Tindakan tegas akan diambil sekiranya kesalahan itu dikesan dilakukan pemilik serta pemandu kenderaan terlibat."Penguatkuasaan itu merupakan peringatan berterusan kepada semua pihak supaya mematuhi undang-undang dan tidak mengambil risiko yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya," katanya.Katanya, JPJ merekodkan peningkatan tahap pematuhan berbanding tahun lalu."Dalam tempoh dua minggu pertama pelaksanaan, JPJ merekodkan banyak penahanan terhadap kenderaan perdagangan yang didapati membawa muatan berlebihan susulan kebimbangan dalam kalangan pemilik kenderaan."Bagaimanapun, selepas tempoh itu, tahap pematuhan meningkat dengan ketara apabila kebanyakan pemilik dan pemandu mula mematuhi had berat yang ditetapkan dan tidak lagi membawa muatan berlebihan," katanya.Menurutnya, walaupun masih terdapat segelintir pemilik kenderaan yang mengambil risiko membawa lebih muatan, secara keseluruhan tahap pematuhan menunjukkan peningkatan yang sangat memberangsangkan."JPJ akan terus mempergiat penguatkuasaan secara berfokus bagi memastikan keselamatan jalan raya terpelihara dan undang-undang dipatuhi sepenuhnya," katanya.